Tags:

Rentetan Kisah Dan Peristiwa Yang Pernah Menggemparkan Negara Sepanjang Tahun 2015

By Hafiz.H Monday, December 21, 2015
DARIPADA politik kepada jenayah, skandal mahupun spekulasi, kejayaan serta kesedihan, semua itu telah menjadikan 2015 sebagai tahun yang penuh dengan kepelbagaian isu dan perkembangan untuk diikuti.

Bagi mereka yang terlepas perkembangan tersebut, berikut berdasarkan rujukan, disenaraikan semula berita sensasi dan imbasan peristiwa penting sepanjang tahun 2015.

JANUARI:
Permulaan tahun 2015 masih lagi dihangatkan dengan insiden meruntum hati seluruh masyarakat dunia membabitkan pesawat Air Asia, QZ8501 yang dilaporkan hilang selepas dua jam penerbangan dari Surabaya, Indonesia ke Singapura sebelum dilaporkan terhempas  di Laut Jawa pada 28 Disember.

Seramai 162 penumpang termasuk anak kapal disahkan terkorban.

Selain perkembangan mengenai nasib malang menimpa pesawat terbabit, isu yang menjadi topik utama media tempatan dan juga antarabangsa adalah mengenai misteri kes pembunuhan ngeri wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu sembilan tahun lalu.

Pada 13 Januari, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar kerana didapati bersalah membunuh model sambilan itu, sekaligus menamatkan tanda tanya kes berkenaan.

Manakala pada 29 Januari pula, sekali lagi rakyat Malaysia khususnya dikejutkan dengan laporan khas mengenai kehilangan pesawat malang Malaysia Airlines (MAS) MH370 di mana kerajaan secara rasmi mengumumkan pesawat tersebut yang hilang pada 8 Mac tahun lalu sebagai satu kemalangan dan kesemua 239 penumpang serta anak kapal dianggap telah terkorban.
“Dengan penuh rasa sedih dan kesal, saya ingin memaklumkan kepada anda, bahawa berdasarkan data baru ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dalam satu sidang media khas.

Berita lain:

1 Januari - Harga baru bagi petrol RON95 dan RON97 masing-masing turun sebanyak 35 sen berbanding harga sebelumnya manakala diesel diturunkan sebanyak 30 sen, menjadikan harga runcit bagi RON95 ditetapkan pada  RM1.91 seliter, RON97 pada RM2.11 seliter manakala diesel berharga RM1.93 seliter.

5 Januari - Keadaan banjir di beberapa negeri di pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu semakin buruk apabila hampir 8,422 mangsa terpaksa dipindahkan ke 112 pusat pemindahan banjir di Terengganu, manakala Kelantan ( 7,689 penduduk).
Kawasan paling teruk terjejas di Kelantan adalah Kuala Krai, manakala di Terengganu adalah hulu Terengganu.

6 Januari - Kumpulan pengganas IS mendakwa warga Amerika Syarikat yang juga seorang pekerja bantuan dari Arizona, Kayla Mueller,26, yang diculik di Syria pada bulan Ogos 2013 telah terbunuh dalam serangan udara Jordan di bandar Raqa, Syria.

7 Januari - Dua lelaki bersenjata dan bertutup kepala menyerbu pejabat sebuah majalah satira mingguan yang terkenal dengan persendakan radikal Islam, membunuh sekurang-kurangnya 12 orang, termasuk dua anggota polis dalam serangan militan yang paling teruk di Perancis.

12 Januari - Mejar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Zaidi Ahmad didapati bersalah oleh Mahkamah Tentera Kuala Lumpur atas dua tuduhan isu dakwat kekal ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan siar maklumat tukar kerja.

17 Januari - Sebahagian besar Sabah dan Sarawak turut dilanda banjir kilat yang teruk. Jumlah keseluruhan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di negeri-negeri terjejas banjir ialah 5,608 orang.

18 Januari - Asisten Superintendan Mohamad Hasnal Jamil yang merupakan wira insiden berdarah pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna pada 2013 yang hampir meragut nyawanya sendiri dianugerahkan pingat kebesaran Bintang Keberanian Kedah (BKK) di Istana Anak Bukit, Kedah.

24 Januari - Tengku Ampuan Tua Terengganu, Tengku Intan Zaharah Almarhum Tengku Seri Setia Raja Tengku Hitam Omar, 86, mangkat di sebuah pusat perubatan di ibu negara pukul 3.26 petang.

FEBRUARI
Kematian Mursyidul Am PAS,  Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, yang disahkan meninggal dunia di Pulau Melaka, Kota Bharu, pada 12 Februari, antara yang menjadi topik utama media.

Kematian Nik Abdul Aziz disahkan oleh anaknya, Nik Mohamad Abduh yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas menerusi laman Facebook beliau.

Selain itu, bulan Februari turut menyaksikan meja jenayah ‘bergegar’ berikutan keputusan rayuan terakhir bagi kes perbicaraan Liwat II membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pada 10 Februari, Mahkamah Persekutuan mendapati  Anwar bersalah atas kesalahan meliwat Mohd Saiful tujuh tahun lalu dan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu.


Berita lain:

1 Februari - Harga petrol RON95 turun sebanyak 21 sen seliter manakala RON97 diturunkan sebanyak 11 sen seliter dan diesel turun 23 sen. Dengan penurunan itu, harga minyak seliter kini RM1.70 untuk petrol RON95, RM2 bagi RON97 dan RM1.70 bagi diesel.

1 Februari - Pelakon kung fu Hong Kong terkenal, Jackie Chan antara 71 individu yang menerima darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sempena Hari Wilayah di Istana Negara .

2 Februari - Atlet bertaraf dunia, Datuk Nicol Ann David mengharumkan nama negara selepas mencipta rekod baharu apabila bertahan sebagai pemain squasy nombor satu dunia selama 106 bulan dalam senarai Persatuan Squasy Wanita (WSA).

Rekod itu diumum pada Kejohanan JP Morgan Tournament of Champions di New York.

5 Februari - Presiden Indonesia Joko Widodo tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memulakan lawatan negara tiga hari ke Malaysia.

10 Februari - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan Indeks Syariah Malaysia yang merupakan produk pelengkap tadbir urus Islam di negara ini yang pertama seumpamanya di dunia.

12 Februari - Perhimpunan nyalaan lilin sebagai tanda solidariti kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlangsung dengan penyokong-penyokongnya berhimpun di hadapan pintu penjara Sungai Buloh.

16 Februari - Kerajaan Selangor mengumumkan pembatalan Projek Lebuhraya Kinrara Damansara (KIDEX).

16 Februari - Pasukan tentera Mesir mula menjalankan serangan udara terhadap satu kubu kumpulan militant islam di Libya sebagai membalas dendam terhadap tindakan memenggal kepala orang Kristian Mesir.

26 Februari - Perdebatan warna baju pasangan kekasih dari Scotland, Grace dan Keir mula menarik perhatian media selepas ia mempersoalkan warna baju yang bakal dipakai untuk majlis perkahwinan mereka – biru dan hitam atau putih dan warna keemasan (perang).

MAC:
Rentetan daripada kematian Mursyidul Am PAS,  Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Februari, isu politik dilihat lebih mencuri tumpuan pada bulan ini apabila rata-rata pemerhati, politikus dan rakyat kini memberi tumpuan kepada kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka dan calon Mursyidul Am PAS baharu bagi menggantikan Nik Abdul Aziz.

Semua persoalan tersebut terjawab selepas Datuk Dr Haron Din dilantik sebagai Mursyidul Am PAS baharu pada 11 Februari.

Manakala, PAS juga berjaya mempertahankan DUN Chempaka selepas calonnya, Ahmad Fathan Mahmod berjaya menewaskan empat calon bebas dengan majoriti undi 10092 semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN tersebut pada 22 Februari.

Selain isu dalam negara, kematian Perdana Menteri pertama Si­ngapura, Lee Kuan Yew di Hospital Besar Singapura kira-kira pukul 3.18 pada 23 Mac akibat menghidap penyakit radang paru-paru turut mendapat perhatian global.

Berita lain:

1 Mac - Harga baharu petrol RON95, RON97 dan diesel naik 25 sen seliter menjadikan harga minyak seliter kini RM1.95 untuk petrol RON95, RM2.25 bagi RON97 dan RM1.95 bagi diesel.

4 Mac - Keadaan lalu lintas di Jalan Cheras menuju ke bulatan Taman Billion, Cheras mengalami kesesakan akibat banjir kilat selepas hujan lebat lebih sejam di Lembah Klang.

6 Mac –Satelit Amerika Syarikat, Dawn berjaya memasuki orbit Ceres, iatu sebuah planet paling kecil yang berada di atara planet Marikh dan Jupiter.

6 Mac - Anugerah filem berprestij, Anugerah Academy (Oscar) ke-87 yang diadakan di Dolby Theatre Hollywood, Los Angeles, Amerika Syarikat turut menarik perhatian dunia.

Tahun ini, anugerah filem terbaik dimenangi oleh Birdman, manakala pelakon terbaik bagi kategori lelaki dan wanita masing-masing dimenangi oleh Eddie Redmayne  ('The Thery of Everything') dan Julianne Moore ('Still Alice').
7 Mac - Dianggarkan lebih ribuan peserta menyertai perhimpunan ‘Kita Lawan’ yang diadakan di beberapa lokasi di ibu negara iaitu di pusat beli-belah Sogo, Masjid Jamek dan Pasir Seni sebagai menyatakan bantahan terhadap pemenjaraan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

8 Mac - Genap setahun insiden kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 239 orang termasuk 12 anak kapal.

13 Mac - Presiden Myanmar, Thein Sein mengadakan lawatan negara ke Malaysia selama dua hari di atas undangan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

13 Mac - The Wharton School of the University of Pennsylvania menganugerahkan Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz penghargaan Wharton Dean's Medal atas pencapaian dan kejayaan beliau mengemudi ekonomi Malaysia.

15 Mac - Dua pesawat Jupiter Aerobatic Team, Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (AU-TNI) terhempas ketika melakukan latihan aerobatik sempena LIMA '15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di Langkawi, Kedah.

23 Mac - Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dimahkotakan sebagai Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor moden pada satu istiadat gilang gemilang di Istana Besar, Johor Bahru.

Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah turut dimahkotakan sebagai Permaisuri Johor, gelaran yang pertama kali digunakan di negeri ini.

23 Mac - Sebanyak 106 soalan berkaitan GST diberikan kepada kastam, dalam satu himpunan bantah GST di pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

24 Mac - Pesawat Airbus penerbangan tambang murah Lufthansa, Germanwings terhempas di kawasan pergunungan Alps di selatan Peranci, ketika dalam perjalanan dari Barcelona, Sepanyol ke Duesseldorf, Jerman. Penerbangan 4U9525 itu membawa 144 penumpang serta enam kru.

APRIL
Ternyata, bulan April merupakan permulaan detik ‘sukar’  bagi rakyat Malaysia apabila secara rasmi pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berkuatkuasa pada 1 April.

Pelbagai reaksi diluahkan oleh rakyat berikutan pelaksanaan cukai tersebut termasuk membabitkan caj enam peratus  GST pada kad tambah nilai prabayar.

Selain isu GST, arena sukan turut menjadi bualan hangat media tempatan, mahupun antarabangsa. Ia berikutan skandal doping jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang disahkan digantung selama lapan bulan.

Pemain nombor satu dunia itu didapati positif doping pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos tahun lalu.

Berita lain:

1 April - Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana meliwat.

4 April - Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Jamaluddin Jarjis serta lima yang lain iaitu ketua setiausaha sulit di Pejabat Perdana Menteri Datuk Seri Azlin Alias; juruterbang Kapten Clifford William Fournier; pembantu operasi Aidana Baizieva, pengawal peribadi Razakan B Seran; dan ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang terkorban selepas helikopter awam yang dinaiki mereka terhempas di Kampong Pasir Baru, Semenyih pada jam 4.55 petang.

7 April -  Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 diluluskan tanpa pindaan di Dewan Rakyat pada 2.25 pagi, selepas dibahaskan lebih 12 jam.

17 April - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes disenaraikan antara 100 individu paling berpengaruh oleh majalah Time.

20 April - Sekumpulan penduduk Taman Medan di Petaling Jaya melahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap sebuah gereja yang baharu sahaja dibuka berikutan lambang salib yang diletakkan diluar gereja berkenaan.

22 April - Seramai 24 pelajar Malaysia cedera dan daripada jumlah itu, tiga orang cedera parah termasuk Nor Atikah yang 30 peratus terbakar di bahagian pinggang ke atas dalam kebakaran di asrama penginapan pelajar Malaysia di RNRMU Moscow, Rusia.

23 April - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pencarum Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) boleh mengekalkan hak mereka untuk mengeluarkan caruman pada usia 55 tahun.
23 April - Krisis pelarian Eropah menarik perhatian antarabangsa selepas lima bot yang membawa lebih ribuan pendatang ke Eropah karam di Laut Mediterranean. Mangsa yang maut dianggarkan lebih 1,200 orang membabitkan pelarian dan pendatang yang melarikan diri ekoran perang yang melanda di Syria.

26 - 27 April - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merasmikan Sidang Kemuncak Asean kali ke-26 di Kuala Lumpur. Malaysia mengambil alih giliran sebagai Pengerusi Asean mulai 1 Jan 2015 daripada Myanmar.

28 April - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan Laporan Tahun 2014 Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

29 April - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjelaskan harga isian semula kad prabayar kekal dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST sebanyak 6 peratus.

MEI
Himpunan Aman bantah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diadakan serentak di seluruh negara bersempena dengan Hari Pekerja.

Perhimpunan ini disertai kumpulan-kumpulan masyarakat dan NGO seperti Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), DEMA, Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), Persatuan Sahabat Wanita, parti politik seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Islam Semalaysia (PAS) dan juga individu-individu yang prihatin.

Selain himpunan membantah GST, rakyat Malaysia turut dikejutkan dengan berita sedih membabitkan sepasang suami isteri dan bayi perempuan mereka berusia tujuh bulan maut dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di KM 6.2 Lebuhraya Duke pada pagi 2 Mei.

Kemalangan dikatakan berlaku semasa mangsa, Fairuz Nizam Husain, 35, memandu kereta Pajero  berada di  lorong tengah sebelum dipercayai digesel dari sebelah kanan oleh sebuah kereta Myvi.

Manakala pada 8 Mei, isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Datin Habibah Mahmud, disahkan antara enam yang terbunuh apabila helikopter yang dinaiki terhempas ke atas sebuah sekolah di utara Pakistan.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan Datuk Dr Hasrul Sani Mujtabar yang turut menaiki helikopter tersebut terselamat namun mengalami kecederaan.

Selain Habibah, lima yang lain ialah duta Filipina dan Norway serta isteri duta dari Indonesia dan juga juruterbang dan kru.

Berita lain:

1 Mei - Harga runcit petrol RON95 dan RON97 serta diesel bagi Mei 2015 akan kekal pada paras semasa dimana harga petrol RON95 kekal pada RM1.95 seliter, RON97 pada RM2.25 seliter dan diesel pada RM1.95 seliter.

2 Mei - Peninju dunia, Floyd Mayweather berjaya mengekalkan rekod tanpa kalahnya dalam dunia tinju selepas menumpaskan Manny Pacquiao dalam pertarungan terbesar abad ini untuk membawa pulang AS$180 juta (RM646 juta) serta bengkung kejuaraan yang memiliki 3,000 butir zamrud.

5 Mei - Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Hasan Arifin menang dengan 23,796 undi menewaskan calon Pas, Nazri Ahmad yang menerima 14,901 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), Dewan Undangan Negeri (DUN) Rompin.

PRK Rompin diadakan berikutan kematian Dr Jamaluddin dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

6 Mei - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ditabal sebagai Sultan Perak Ke-35 dalam Istiadat Tabal Adat yang berlangsung dengan penuh istiadat di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

7 Mei - Calon PKR, Datuk Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh selepas memperolehi 30,316 undi manakala calon BN, Suhaimi Shabudin mendapat 21,475 undi, calon Bebas, Salleh Isahak dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Azman Shah Othman, masing-masing memperolehi sebanyak 367 dan 101 undi.

10 Mei - Jenazah Nor Atikah Alias, pelajar Malaysia yang  meninggal dunia dalam kebakaran asrama di Rusia pada 22 April lepas, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit, Jeram Linang, Pasir Puteh.

11 Mei -  Lukisan pelukis terkenal Pablo Picasso iaitu ,‘Les femmes d’Alger‘ dijual pada harga AS$179 juta (kira-kira RM783.2 juta) dalam satu acaran lelongan di New York, sekaligus mencatatkan harga jualan paling mahal.

14 Mei - Kumpulan lelaki bersenjata yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Abu Sayyaf menyerbu sebuah restoran popular di tepi pantai berhampiran Sandakan dan menculik pengurus serta seorang pelanggan pada Khamis malam.

Mangsa adalah Thien Nyuk Fun, 50 dan pelanggan restoran, Bernard Ghen Ted Fen berusia 36 tahun.

21 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang memberi tumpuan terhadap agenda pelaburan untuk kepentingan rakyat selaras dengan matlamat Model Ekonomi Baharu (MEB) bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi.

23 Mei - Pasukan dari Singapura Lion XII muncul juara Piala FA selepas menewaskan pasukan Kelantan pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

23 Mei - Seramai 62.1 peratus telah mengundi untuk membenarkan perkahwinan antara dua individu "tanpa membezakan jantina mereka"  di Ireland.

24 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di ibu negara Jepun untuk lawatan rasmi tiga hari yang dijangka memperkukuhkan lagi hubungan dua hala yang sudah lama terjalin di antara kedua buah negara.

24 Mei - Sebuah kubur besar yang dipercayai mengandungi hampir 100 pendatang Rohingya dijumpai di Padang Besar.

27 Mei - Dewan Rakyat membahaskan usul tergempar mengenai penemuan 139 kubur pelbagai saiz dan khemah mangsa pemerdagangan manusia di sempadan Malaysia-Thailand.

JUN
Insiden yang paling memberi impak  kepada rakyat Malaysia pada bulan ini adalah membabitkan gempa bumi dengan kekuatan 6.0 pada skala Richter yang berlaku di Sabah pada 5 Jun.

Gempa yang dikesan di kedalaman 54 kilometer di bawah tanah itu dirasai di sekitar Ranau, Tambunan, kawasan pedalaman dan pantai barat termasuk Tuaran, Kota Kinabalu, Beaufort dan Kota Belud.

Dilaporkan, seramai 18 orang terbunuh berikutan gempa tersebut.

Malah, ia turut mencuri tumpuan global apabila insiden tersebut dikaitkan dengan sumpahan  penunggu gunung ekoran tindakan biadab sekumpulan pelancong Eropah yang berbogel di puncak gunung itu pada 31 Mei lalu.

Berita lain:

1 Jun - Penerbangan Malaysia (MAS) telah menghantar surat penamatan perkhidmatan kepada 20,000 kakitangannya dan daripada jumlah itu kontrak 6,000 pekerja akan ditamatkan manakala 14,000 lagi ditawarkan bekerja dengan syarikat baharu Malaysia Airlines Bhd group (MAS Bhd).

2 Jun - Sepp Blatter umum peletakan jawatannya sebagai Presiden FIFA, empat hari selepas dilantik semula bagi penggal kelima.

4 Jun - Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan jawatan sebagai Presiden PAS selepas menewaskan pencabarnya Ahmad Awang dalam pemilihan sempena Muktamar Tahunan PAS ke-61.

7 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz al-Saud, Jeddah bagi rangka lawatan rasmi tiga hari atas jemputan Raja Salman Abdulaziz al-Saud.

7 Jun - Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Farhan Lee Abdullah sahkan 19 mangsa yang terkorban dalam gempa bumi yang melanda Ranau, Sabah adalah malim gunung dan pendaki Gunung Kinabalu.

13 Jun - Satu gempa bumi sederhana dengan kekuatan 5.1 magnitud dilaporkan melanda Sabah.

14 Jun - Kapal tangki berdaftar di negara ini, MT Orkim Harmony dilaporkan hilang sejak 11 Jun lalu. Kapal yang membawa muatan kira-kira 6,000 metrik petrol RON95 dilaporkan terputus hubungan pada 8.50 malam.
18 Jun -  Kapal tangki MT Orkim Harmony disahkan ditemui di perairan Kemboja dengan kesemua 22 anak kapalnya selamat. Ketika ditemui, kapal itu didapati telah ditukar namanya kepada "Kim Harmon".

20 Jun - Seorang menteri Iraq mengecam tindakan militan Negara Islam (IS) yang bercadang mengubah tapak makam Nabi Yunus di Mosul, yang telah dimusnahkan pada tahun lalu, menjadi sebuah taman awam.

21 Jun - Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menewaskan pemain Denmark Hans-Kristian Vittinghus, 22-20 dan 21-12 pada perlawanan akhir Grand Prix Emas Terbuka Amerika Syarikat, sekaligus meraih gelaran kejuaraan pertama beliau dalam kejohanan terbuka.
26 Jun - Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemilihan UMNO yang dijadual berlangsung pada Perhimpunan Agung parti tahun depan ditangguh selama 18 bulan.

27 Jun - Pasukan bola sepak kebangsaan bawah-13 menang 1-0 menentang Atletico Madrid Bawah-13 pada perlawanan pembukaan IberCup di Costa del Sol, Sepanyol.

30 Jun - Sekurang-kurangnya 45 orang telah disahkan terkorban dalam nahas pesawat Hercules milik Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang jatuh terhempas di perkampungan di Simalingkar, Medan, Sumatera Utara.

JULAI
Drama di Plaza Low Yat yang berlaku pada 11 Julai nyata mencuri tumpuan ramai. Insiden Kekecohan dikatakan bermula apabila dua lelaki warga tempatan telah datang ke kedai alat telekomunikasi di plaza itu untuk membeli telefon bimbit kira-kira pukul 4.30 petang.

Difahamkan, ketika urus niaga itu, salah seorang suspek telah melarikan telefon bimbit yang mahu dibeli namun perbuatannya dilihat oleh jurujual kedai terbabit yang kemudiannya mengejarnya.

Kejadian kejar-mengejar tercetus dan peniaga telefon bimbit di kedai lain menangkap suspek itu, menyerangnya dan menyerahkannya kepada polis.

Ekoran itu, pada 13 Julai, kekecohan berlaku apabila  kira-kira 200 orang, sebahagiannya dikatakan dari kumpulan hak Melayu Pekida, berkumpul di plaza itu, memaksa pihak berkuasa mengarahkan perniagaan di premis itu ditutup awal.

Selain itu, rombakan Kabinet yang diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 28 Julai  turut menarik perhatian.

Pengumuman tersebut menyaksikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilantik memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri yang baharu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan dari jawatan itu.

Najib berkata, keputusan untuk menggantikan Muhyiddin termasuk rombakan kabinet dibuat setelah mengambil kira pertimbangan politik dan kepentingan pentadbiran supaya komited dan fokus terhadap negara.

Berita lain:

1 Julai -  Harga runcit petrol RON95 naik 10 sen manakala RON97 sebanyak 20 sen seliter.

1 Julai - Kegagalan Greece membayar kira-kira 1.6 bilion euro (RM6.7 bilion), menjadikannya ekonomi maju pertama yang mungkir melunaskan hutang kepada Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF).

2 Julai - Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengisytiharkan bahawa kerajaan pimpinannya tidak lagi dikenali sebagai kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang, sebaliknya hanya sebagai kerajaan negeri Pulau Pinang.

7 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memfailkan saman terhadap Wall Street Journal (WSJ) berhubung laporan mengaitkan beliau dalam dakwaan penyelewengan wang berjumlah RM2.6 bilion.

8 Julai -  Polis menyerbu pejabat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Jalan Sultan Ismail di Kuala Lumpur. Serbuan bermula kira-kira pukul 11.30 pagi.

9 Julai - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menerima laporan interim pengauditan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang diserahkan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

9 Julai – Syarikat pengeluaran kereta nasional, Proton menyambut ulangtahun ke-30.

10 Julai - Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mula beroperasi dari Stesen KTMB Ipoh ke Padang Besar.

13 Julai - Lima individu cedera, dengan tiga daripada terdiri daripada wartawan dalam serangan yang berlaku berhampiran dengan Plaza Low Yat.

14 Julai -  Suspek yang ditangkap kerana mencuri telefon bimbit di Plaza Low Yat mengaku tidak bersalah selepas dibacakan pertuduhan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Jalan Duta.

14 Julai - Presiden Persatuan Veteran Tentera Malaysia Ali Tinju ditahan polis mengikut Akta Hasutan berhubung ucapan berbaur perkaumannya di depan Plaza Low Yat, Kuala Lumpur.

14 Julai - Kapal angkasa New Horizons milik NASA berjaya melakukan lintasan bersejarah di planet Pluto selepas agensi angkasa lepas AS itu menerima isyarat yang lama ditunggu-tunggu dari pesawat itu yang didapati masih utuh.

14 Julai - Iran dan enam negara yang diketuai oleh Amerika Syarikat mencapai satu perjanjian dengan menghadkan keupayaan nuklear Teheran selama lebih daripada satu dekad. Persetujuan itu adalah sebagai pertukaran pemansuhan sekatan kewangan bagi sektor minyak antarabangsa.

17 Julai - Majlis ulang tahun pertama bagi memperingati mangsa tragedi MH17 yang dipercayai ditembak jatuh di ruang udara diadakan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

18 Julai - Lima disahkan terbunuh dalam kejadian bot karam di dua batu nautika dari pantai Bagan Sungai Kajang. Bot tersebut karam selepas dipukul ombak.

19 Julai - Laman web Sarawak Report telah disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berikutan telah menjadi sumber utama dakwaan salah laku mengenai 1MDB , dan telah menerbitkan beberapa cerita mengenai pelaburan kerajaan.

20 Julai - Selepas lima dekad hubungan diplomatik antara Amerika Syarikat (AS) dan Cuba terputus, kedua-dua negara kembali terjalin dengan membina semula hubungan antara kedua-dua negara itu adalah pembukaan semula kedutaan di ibu negara masing-masing.

22 Julai - Seorang pengarah urusan sebuah firma berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berusia 54 tahun ditahan reman selama lima hari untuk membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana syarikat pelaburan kerajaan itu.

27 Julai - Bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai Peguam Negara berkuatkuasa hari ini menggantikan Tan Sri Abdul Ghani Patail yang dilantik ke jawatan itu sejak 2002.
29 Julai - Serpihan bangkai pesawat dipercayai bahagian sayap yang dikaitkan dengan komponen Boeing 777 ditemui di kepulauan La Reunion di Lautan Hindi.

Serpihan berkenaan sepanjang dua meter yang ditemui oleh orang ramai yang sedang membersihkan pantai berkenaan.
29 Julai - Bangunan lama Ibu Pejabat Polis Bukit Aman terbakar kira-kira jam 5.15 petang. Kebakaran berlaku di berlaku di tingkat 9 dan 10 menara 2 (lama) berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan hanya dokumen tidak penting yang musnah dalam kebakaran itu.

OGOS
Puluhan ribu rakyat menyertai Perhimpunan Bersih 2015 atau Perhimpunan Bersih 4 yang telah diadakan pada 29 hingga 30 Ogos di beberapa lokasi utama seluruh Malaysia - Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching.

Perhimpunan ini merupakan hasil cetusan dan dianjurkan oleh badan bukan kerajaan iaitu Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil atau singkatannya Bersih.

Objektif utama badan bukan kerajaan ini adalah untuk menggesa Kerajaan Malaysia yang berada di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) untuk mengolah kembali dan membaik pulih sistem pemilihan atau pilihanraya berdasarkan konsep keadilan sejagat yang lebih bebas, terbuka dan bersih dari unsur sabotaj, ketirisan dan rasuah pilihanraya

Malah lebih menarik, perhimpunan tersebut turut dihadiri oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Berita lain:

1 Ogos - Harga runcit petrol bagi RON95 dan RON97 turun 10 sen menjadikan harga baharu bagi RON95 adalah RM1.95 seliter, manakala RON97 menjadi RM2.35. Manakala, Harga bagi diesel juga mengalami penurunan sebanyak 15 sen, daripada RM1.95 pada Ogos, kepada RM1.80.

1 Ogos - Seramai 29 individu termasuk enam wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam perhimpunan haram yang dianjurkan beberapa kumpulan di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara.

1 Ogos - Serpihan bahagian sayap pesawat ditemui di pantai Pulau La Reunion, Lautan Hindi tiba di Perancis untuk tujuan penyiasatan.

3 Ogos - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah dana sumbangan penderma dan bukannya disalurkan oleh syarikat pelaburan, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

6 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion di timur Lautan Hindi milik pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.

7-9 Ogos - Acara perlumbaan KL City Grand Prix 2015.

9 Ogos - Kapal MT Joaquim dengan muatan 3,500 metrik tan minyak mentah “marine fuel oil” bernilai kira-kira RM2.8 juta yang dilaporkan hilang ketika dalam pelayaran ke Langkawi dari Tanjung Pinang, Indonesia, ditemui semula di kedudukan 14 batu nautika timur Pulau Rupat, Indonesia.
18 Ogos - Kementerian Luar mengesahkan empat rakyat Malaysia terkorban dalam insiden letupan bom di Bangkok. Letupan dipercayai berpunca dari sebutir bom meletup di sebuah kuil di tengah-tengah Bangkok.

Menteri Pertahanan Thai, berkata, pengebom mensasarkan warga asing dan cuba menjatuhkan industri pelancongan negara itu.

"Ia adalah sebuah bom TNT dimana pengebom mensasarkan warga asing dan berhasrat menjatuhkan pelancongan dan ekonomi Thailand," kata Prawit Wongsuwong kepada AFP.

SEPTEMBER
Sepanjang September hingga Oktober, beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan bacaan indeks Pencemaran Udara (IPU) yang teruk berikutan jerebu melanda negara.

Antara yang paling teruk adalah Shah Alam yang mencatat Indeks IPU pada tahap berbahaya iaitu 308.

Kebanyakkan sekolah di Semenanjung turut diarah tutup kerana keadaan jerebu yang semakin teruk.
Selain isu jerebu, tragedi kren runtuh yang mengorbankan sekurang-kurangnya 107 jemaah yang berlaku di Masjidilharam, Mekah turut mengemparkan dunia.

Menurut pihak berkuasa Arab Saudi sekurang-kurangnya 107 meninggal dunia manakala 184 mengalami kecederaan dalam kejadian semasa hujan lebat dan ribut pasir pada 11 September itu.

Seramai lima rakyat Malaysia turut terkorban dalam tragedi tersebut.

Berikutan itu, Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, telah mengarahkan pemberian wang pampasan kepada keluarga mangsa tragedi berkenaan sebanyak SR1 juta (RM 1.1 juta).

Berita Lain:

1 September - Harga runcit petrol bagi RON95 dan RON97 turun 10, manakala harga bagi diesel mengalami penurunan sebanyak 15 sen. Harga baharu masing-masing adalah RM1.95 seliter, RM2.35 dan RM1.80 bagi diesel.

2 September - Foto Aylan Kurid, 3, salah seorang daripada 12 pelarian Syria yang maut selepas bot yang dinaiki mereka karam ketika dalam perjalanan ke Pulau Kos di Greece mendapat perhatian dunia.
3 September - Tun Dr Mahathir Mohamad akan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan berikutan ucapannya dalam perhimpunan Bersih 4.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis akan merakam percakapan bekas Perdana Menteri itu dalam masa terdekat.

"Kita akan rakam percakapan beliau. Kita perlu rakam percakapan sebab laporan polis telah dibuat seorang ketua bahagian UMNO berhubung kenyataan Tun mengenai rasuah.

"Polis mengklasifikasikan siasatan itu di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan," katanya dilapor Awani.

3 September - Sekurang-kurangnya 15 mayat telah ditemui pasukan pencari dan penyelamat, sementara lebih daripada 40 orang masih hilang selepas sebuah bot yang membawa pendatang tanpa izin dan dalam perjalanan pulang ke Indonesia karam di perairan Sabak Bernam.

3 September - Kekalahan memalukan  skuad Malaysia selepas dibelasah 10-0 oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan ketiga Kumpulan A pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Mohammed Bin Zayed, Abu Dhabi.
4 September -  Berikutan kekalahan skuad Malaysia terhadap Emiriah Arab Bersatu (UAE), Dollah Salleh secara rasminya mengumumkan perletakan jawatannya sebagai jurulatih skuad bola sepak kebangsaan.

16 September - Polis menemui mayat Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais dalam sebuah tong berisi konkrit di USJ Satu, Subang Jaya.

Morais dilaporkan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur pada 4 September untuk ke pejabatnya di Putrajaya.

16 September - Lautan merah memenuhi Padang Merbok dengan ribuan peserta Himpunan Rakyat Bersatu berkumpul untuk menyatakan bantahan terhadap Bersih 4 hujung bulan lalu dan demi mempertahankan maruah Melayu.
17 September - Seorang kanak-kanak Islam, Ahmaed Mohamed, 14, ditahan di kelasnya dan dibawa ke pusat tahanan selepas didakwa membuat bom daripada jam tangan elektronik.

18 September - Syarikat pengeluaran kenderaan Volkswagen didakwa terlibat dalam skandal penipuan membabitkan pengeluaran kenderaan tersebut.

18 September - Seorang lelaki ditahan pihak polis kerana menampar muka Imam Dua Masjid Negara, Mohd Zuhairee Mohd Yatim ketika sedang mengimamkan solat Jumaat.

18 September - Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan ditahan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

21 September - Raja Puan Muda Kedah, Tunku Raudzah Sultan Hisamuddin Alam Shah Al Haj, 86, mangkat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar kira-kira pada pukul 10.15 pagi.

22 September - Pakatan Harapan ditubuhkan bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang "tidak lagi berfungsi'. Penubuhan pakatan itu merangkumi tiga parti politik iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

28 September - Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat, NASA mengesahkan penemuan aliran air di Planet Marikh.

 30 September - Kementerian Pertahanan Rusia memaklumkan mereka telah melancarkan serangan udara di Syria keatas kenderaan dan gudang Rusia yang dipercayai milik militan IS.

30 September - Shabir Ahmad Khan, 31, yang didakwa menampar Imam Masjid Negara semasa solat Jumaat didakwa di atas tiga pertuduhan iaitu mencederakan imam, menganggu solat Jumaat dan tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh Pas Lawatan Sosial.

OKTOBER
Antara yang mencuri tumpuan selain Pembentangan Bajet 2016 adalah mengenai laporan akhir membabitkan Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 - mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal.

Lembaga Keselamatan Belanda (OVV) mengesahkan bahawa pesawat malang itu ditembak jatuh di timur Ukraine dengan peluru berpandu BUK buatan Russia.

Pengerusi OVV, Tjibbe Joustra, berkata peluru berpandu itu dilancarkan dari lokasi dalam kawasan seluas 320 kilometer (km) persegi. Bagaimanapun, hasil siasatan itu tidak menyatakan siapa yang melancarkan peluru berpandu itu.

Memetik laporan itu juga, Joustra mengesahkan tiga anak kapal mati di dalam kokpit terkena serpihan peluru berpandu itu. Selain itu, siasatan turut menolak andaian bahawa terdapat bom di dalam pesawat, serangan udara ke udara atau perlanggaran meteor.

Berita Lain:

1 Oktober - Harga runcit petrol RON95, RON97 dan diesel naik sebanyak 10 sen seliter bagi Oktober 2015 berkuat kuasa tengah malam.

5 Oktober - Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mendenda Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejumlah RM180,000 ekoran kekecohan yang berlaku sewaktu Kelayakan Piala Dunia 2018 di Stadium Shah Alam, 8 September lalu.

Selain itu, skuad Arab Saudi diberi kemenangan 3-0 ke atas Malaysia dan mengarahkan skuad kebangsaan Malaysia untuk bermain satu perlawanan tanpa penyokong.

9 Oktober - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Alias Abdullah, 51, maut ditembak di rumahnya di Kampung Alor Limbat, Marang  selepas solat Jumaat.

9 Oktober - Pasukan Mencari dan Menyelamat berjaya menemui dua anak Orang Asli yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Pos Tohoi yang dilaporkan hilang sejak 23 Ogos. Mangsa, Mirsudiar Aluj, 11 dan Noreen Yacob, 10, ditemui dalam keadaan lemah oleh pasukan tentera.

10 Oktober - Negara melakar sejarah hari ini apabila buat pertama kalinya menyambut Hari Sukan Negara.

14 Oktober - Remaja Orang Kurang Upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, 16, yang ditemui dalam keadaan kurus kering dan tidak terurus, disahkan telah meninggal dunia.
23 Oktober - Tumpuan utama seluruh rakyat Malaysia semestinya membabitkan pembentangan belanjawan tahunan negara di Dewan Rakyat yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

23 Oktober - Taufan Patricia melanda barat daya Mexico yang membawa hujan lebat, ombak besar dan angin kuat.
31 Oktober - Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) melakar sejarah baharu bola sepak tanah air selepas muncul pasukan pertama dari Malaysia menjuarai Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). JDT menundukkan juara bertahan Liga Tajikistan, Istiklol FC pada aksi final di Stadium Republican Central di Dushanbe, Tajikistan.

NOVEMBER
Pada bulan ini, insiden berdarah yang berlaku di Paris, Perancis pada 13 November dan Beirut, Lubnan (12 November) nyata memberi kesan kepada seluruh masyarakat dunia.

Dalam satu siri tembakan rambang yang disasarkan terhadap orang ramai dan serangan berani mati berlaku di Paris, termasuk letupan di luar Stadium Nasional di mana satu perlawanan bola sepak sedang berlangsung telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 153 orang maut.

Polis Perancis melaporkan bahawa dua pengebom berani mati mungkin terlibat dalam serangan ini. Berikutan itu, Presiden Perancis François Hollande mengumumkan keadaan darurat, penutupan sempadan dan berkabung di seluruh Perancis selama tiga hari.

Letupan terjadi berhampiran Stade de France, sementara penembakan dilaporkan terjadi di sekitar jalan Rue Alibert, Rue de la Fontaine-au-Roi, Rue de Charonne, panggung Bataclan di Boulevard Voltaire, Avenue de la République, dan Boulevard Beaumarchais.

Sementara, kejadian yang hampir sama turut berlaku di Beirut Lubnan. Serangan bom bunuh diri ISIS di Beirut, Lubnan yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 41 orang terbunuh dan 200 orang tercedera dalam dua serangan tersebut yang berlaku pada lewat Khamis, iaitu sehari sebelum serangan di ‘Kota Cinta’ itu.

Serangan di Beirut yang didalangi militan IS tertumpu di kawasan membeli-belah terkemuka di bandaraya itu, selain ke atas kubu kuat puak Syiah, Hezbollah.

Berita Lain:

4 November - Kekanda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, unku Hamidah Almarhum Sultan Badlishah, 90, meninggal dunia akibat gering jam 11.50 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

11 November - Lebuhraya Karak ditutup kepada lalu lintas di kedua-dua arah kerana kejadian tanah runtuh di KM52.4 berhampiran Lentang-Bukit Tinggi.

14 November - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengutuk siri serangan kumpulan bersenjata di Paris yang menurut laporan telah mengorbankan lebih 100 nyawa.

15 November - Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei meraih kejuaraan  dalam Terbuka China selepas mudah mengatasi pemain tuan rumah Chen Long, 21-15 dan 21-11.

18 – 22 November - Beberapa jalan di ibu negara akan ditutup bermula 18 hingga 22 November untuk beri laluan kepada Sidang Kemuncak Asean Ke-27 kan diadakan di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC).

20 November - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama tiba di Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur.
22 November - Datuk Lee Chong Wei meraih gelaran kelimanya musim ini selepas menewaskan Tian Houwei di perlawanan akhir Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Hong Kong, dengan kemenangan 21-16, 21-15 di Hong Kong Coliseum.

23 November -  Perdana Menteri India Narendra Modi tiba di Malaysia untuk lawatan rasmi pertamanya sejak memegang jawatan itu pada 2014.

24 November - Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman diumum dipecat daripada keahlian dan jawatan dari parti UMNO.

24 November - Turki menembak jatuh sebuah pesawat pejuang Rusia dekat sempadan Syria, dengan mengatakan bahawa ia berulang kali menceroboh ruang udara negara itu.

26 November -  Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan usul khas melarang dua Naib Presiden PKR iaitu Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua daripada memasuki negeri itu.

28 November - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail menitahkan supaya mengharamkan penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape di negeri tersebut, berkuatkuasa 1 Januari.

DISEMBER
Penghujung tahun 2015 kelihatan sedikit ‘sugul’ berikutan kemangkatan putera keempat Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah iaituTunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim yang berjiwa rakyat dan disayangi ramai nyata dirasai seluruh rakyat negara ini, khususnya rakyat Johor.

Almarhum,25, mangkat pada 5 Disember jam 7.11 malam di Hospital Sultanan Aminah Johor Bahru akibat kanser hati.

Semua bendera dikibarkan separuh tiang selama tiga hari susulan kemangkatan, Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil.

Sebelum ini, Tunku Jalil kerap menjalani rawatan di hospital luar negara akibat jangkitan berulang terhadap kanser yang dihidapi baginda.

Rata-rata pemimpin negara, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut menzahirkan uzapan takziah atas kemangkatan Tunku Jalil.

“Merafak sembah takziah atas kemangkatan Tunku Laksamana Johor, Y.A.M. Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim. Semoga rohnya dicucuri Rahmat. Al-Fatihah,” tulis Najib.

Menambah pilu dalam kalangan rakyat adalah apabila bonda Almarhum, Raja Zarith Sofiah membuat coretan khas untuk anakanda tercintanya itu yang dimuat naik dilaman Facebook baginda.

Berita Lain:

1 Disember - Harga petrol RON95 untuk menyaksikan penurunan 10 sen menjadi RM1.95 seliter, manakala harga bagi RON97, diesel biasa dan diesel Euro 5 masing-masing kekal pada kadar harga RM2.45, RM1.90 dan RM2 seliter.

1 Disember - Pasukan penyiasat Indonesia menyatakan kesilapan anak kapal dan kerosakan komponen kawalan penerbangan menjadi punca pesawat AirAsia QZ8501 hilang kawalan sebelum terhempas di Laut Jawa pada 28 Disember tahun lalu sehingga mengorbankan 162 penumpang dan anak kapal.

Dalam laporan akhir Agensi Keselamatan Pengangkutan Nasional Indonesia, kerosakan pada sistem kemudi pesawat Airbus A320-200 telah mencetuskan rangkaian kejadian yang mengakibatkan nahas berkenaan.

3 Disember - Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 di peringkat jawatankuasa selepas undian yang dibuat menyaksikan 107 wakil rakyat bersetuju, manakala 77 lagi Ahli Parlimen menolak.

Rang undang-undang (RUU) berkenaan diluluskan tanpa pindaan dan tanpa undi belah bahagian.

4 Disember - Seorang ahli perniagaan Malaysia mati ditembak berpuluh-puluh kali semasa dalam perjalanan dari Sadao menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai, Songkhla.

Motif pembunuhan mangsa, Lee Ah Wan, 54 di Hatyai didakwa berkaitan dengan perselisihan perniagaan melibatkan hutang berjumlah 35 juta baht (RM4.11 juta).

7 Disember - Calon Presiden Amerika Syarikat daripada Parti Republikan, Donald Trump menggesa supaya umat Islam tidak dibenarkan memasuki negara itu ekoran kejadian tembakan di California baru-baru ini yang melibatkan pasangan suami isteri yang dikaitkan dengan kumpulan militan IS.
12 Disember - Selangor menjuarai Piala Malaysia selepas menewaskan Kedah, 2-0, pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.

17 Disember - Malaysia memberikan sokongan kepada usaha Arab Saudi berhubung pembentukan pasukan tentera terdiri daripada 34 negara Islam untuk memerangi keganasan.

19 Disember - Pemilik syarikat kejuruteraan, Mohd Halim, 44 dan isteri, Nurul Adilah, 39, bersama tiga anak perempuan mereka lemas ketika mandi di Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu. Bagaimanapun, seorang lagi anak mereka, Mohd Hasif yang berada di daratan terselamat daripada tragedi itu.

19 Disember - Seorang pekerja warga Malaysia berasal dari Besut terbunuh dalam kejadian sebuah dandang meletup di sebuah kilang plastik di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

20 Disember - Syarikat penerbangan pematuhan syariah pertama di Malaysia, Rayani Air akan memulakan penerbangan laluan klia2-Kota Bharu dan klia2-Langkawi pada Ahad  menggunakan pesawat Boeing 737-400.

Rujukan asal: MalaysianDigest

Post Tags:

Jillur Rahman

I'm Jillur Rahman. A full time web designer. I enjoy to make modern template. I love create blogger template and write about web design, blogger. Now I'm working with Themeforest. You can buy our templates from Themeforest.