10 Alasan Untuk Anda ‘Left Whatsapp Group’

By Hafiz.H Tuesday, January 19, 2016
ANTARA aplikasi yang pasti ada dalam telefon pintar kita hari ini bukan YouTube atau Facebook semata-mata, tetapi WhatsApp.
Aplikasi sembang ciptaan Kan Koum itu kini dianggarkan sudah mencecah 1 bilion pengguna aktif, jauh mengatasi pesaingnya seperti Telegram, BlackBerry BBM atau Facebook Messenger.

Dalam erti kata lain, perniagaan data syarikat telekomunikasi berada di penghujung hayat. Bila menerima SMS daripada seseorang, kita tidak balas SMS.

Kita guna WhatsApp. Kenapa hendak membazir 15 sen untuk SMS bila WhatsApp yang dijana menerusi Internet, adalah “percuma”.

Trend sembang dalam telefon pintar ini, sebenarnya bila difikirkan, membelakangi makna telefon pintar. Bukankah telefon pintar sepatutnya alat yang memudahkan orang berkomunikasi.

Tekan satu butang, terus bercakap. Mengapa sanggup menaip pula? Bukankah menaip itu sukar? Tidak boleh menaip semasa menunggang motosikal atau memegang kemudi roda kereta.

Namun, trend yang agak menyesakkan nafas ialah semakin kemaruk orang mewujudkan kumpulan sembang atau Group Chat. Yang asas dan wajib tidak mengapa. Struktur lazim ialah:

1. Keluarga utama yang terdiri daripada diri anda, isteri atau suami, anak dan menantu.

2. Keluarga anda, dan adik-beradik beserta ibu bapa, mentua.

3. Unit kerja untuk anda berhubung dengan rakan sepejabat, salurkan maklumat atau umpatan.

4. Kumpulan jabatan, hanya jika anda ketua jabatan. Tetapi ini pun jadi saluran pembocoran rahsia organisasi.

5. Rakan-rakan sepermainan seperti golf, futsal atau basikal, memudahkan wake-up call untuk program.


Selain daripada 5 kategori kumpulan sembang WhatsApp yang saya senaraikan di atas, kumpulan lain yang anda ada di dalamnya sekarang, adalah berstatus “kurang genting” dan anda boleh tinggalkan bila-bila masa iaitu Exit Group, melainkan anda cuak menyinggung perasaan Group Admin.

Jadi, anda kena cari alasan kukuh, alibi atau prima facie untuk anda Exit Group. Berikut adalah sampel alasan yang boleh anda gunakan:

1. Pemasaran melampau

Sekali-sekala hendak juga tahu di mana hendak beli pinggan semurah di Langkawi. Berkongsilah alamat.

Tetapi tidak tanya pun, ia dikongsi saban hari. Bermakna ia memang pemasaran totok. Dan teman itu tidak berminat hendak bersosial tetapi berniaga.

2.  Tazkirah tidak ketahuan sumber

Subuh terima gambar dengan ayat tazkirah. Kemudian 8 pagi semasa hendak sampai pejabat. Tengahari, petang, malam. Kemudian, berulang lagi esoknya.

Kawan yang menghantar bahan itu, tidak bekerjakah? Walhal dia bekerja di tingkat yang sama. Satu lagi, sumber tazkirah itu sudah disahkan atau diambil daripada kiriman orang lain juga? Sesat samalah semua.

3. Kemaruk cerita kisah silam

Ahli-ahli dalam kumpulan, menghampiri umur persaraan. Atau sakit nazak. Mereka gemar mengimbau kisah lampau. Sesetengah cerita itu, berlaku waktu anda belum lahir pun.

4. Didominasi bos

Mula-mula seorang sahaja Alfa di dalam. Kemudian dia ajak kawan-kawan yang sepangkat dengannya. Kita ini kulikutif, terus segan dan rasa dalam salah dewan.

5. Kaki Show Off

Teman-teman sebegini tidak pegang jawatan pun dalam parti. Masa perhimpunan tahunan, mereka datang bukan sebagai delegasi tetapi duduk tepi ketua. Jadi gerombolan.

Dalam WhatsApp, dia tayang gambar dia bersama ahli politik. “Nak kelulusan projek? I boleh tolong’’.
6. Memaparkan anak-anak

Tidak salah tayang anak. Kita semua ada anak. Orang lain pun ada anak. Modal pembuka sembang, bermula dengan cerita anak. Tapi hari-hari mesti jadi muak.

7. Ulang tayang video

Mujurlah ada butang sekat kiriman video menyusup terus masuk ke dalam telefon. Video banyak – berat. Memori telefon jadi nipis.

Tunggu kami padam video yang awak kirim lima minit tadi sebelum awak muat naik video baru.

8. Kritik orang boleh, orang kritik tidak boleh

Ajak berdebat tetapi tidak benarkan orang berhujah. Semua disanggah. Bila ditegur, terus jadi emosi. Bila emosi, mulalah melalut mengungkit jasa-jasanya. Debat pasal filem Polis Evo sahaja pun.

9. Ahli-ahli tiada etika, memarahi ahli lain sesedap rasa

Kumpulan PIBG adalah yang paling digeruni oleh guru-guru. Ini platform ibu bapa main tanya dan hentam ikut suka hati mereka.

“Saya tak marah. Saya hanya bertanya” adalah ayat yang disusuli dengan pernyataan “apa hak cikgu batalkan mesyuarat? Cikgu ini pandaikah?”

Bicara sebegini patut berlangsung satu dengan satu, bukan dalam kumpulan. Tidak malukah orang tengok awak marah cikgu di khalayak ramai. Cikgu itu juga mendidik anak awak.

10. Ulas prestasi kelab bola

Menang tidak apa. Kalau seri atau kalah tolong jangan ulas sepatah pun. Sensitif tahap tertinggi.

Rujukan: Thevocket

Post Tags:

Jillur Rahman

I'm Jillur Rahman. A full time web designer. I enjoy to make modern template. I love create blogger template and write about web design, blogger. Now I'm working with Themeforest. You can buy our templates from Themeforest.

No Comment to " 10 Alasan Untuk Anda ‘Left Whatsapp Group’ "