Tags:

Di Segamat, Jual Sate Secucuk 30 Sen Tetap Untung

By Hafiz.H Saturday, April 2, 2016
SEGAMAT 1 April – Tindakan seorang peniaga yang menjual secucuk sate dengan harga 30 sen patut menjadi contoh kepada usahawan lain dalam usaha ‘membantu’ mengurangkan bebanan kos hidup masyarakat yang kian meningkat kini.

Walaupun seperti ‘tidak logik’, namun Shamsudin Mohamad, 56, mengakui tetap memperoleh keuntungan, sedangkan kebanyakan peniaga menjual secucuk sate pada harga 50 atau 60 sen secucuk pada masa ini.
SHAMSUDIN MOHAMAD (kiri) dibantu isteri dan anaknya membakar sate yang dijual 30 sen secucuk di Jalan Awang, Segamat, Johor, semalam.


Dia yang mula menjual sate secara sambilan sejak awal tahun 90-an dengan harga 10 sen secucuk, namun terpaksa menaikkan harga menjadi 30 sen sejak beberapa tahun lalu atas faktor kos.

“Saya hanya menjual sate ayam dan selalunya berniaga pada waktu pagi ketika cuti hujung minggu kerana mempunyai pekerjaan tetap sebagai penjawat awam di salah sebuah jabatan kerajaan di sini.

“Setiap kali berniaga, saya mampu menjual kira-kira 800 cucuk sate. Saya bersyukur usaha ini mampu menambah pendapatan serta memberi peluang kepada keluarga yang kurang berkemampuan untuk menikmati sate dengan harga yang berpatutan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Shamsudin yang mengamalkan prinsip biar untung sedikit, tetapi mudah laku ketika berniaga dan menganggap tindakannya menjual sate lebih murah berbanding harga pasaran sebagai salah satu cara membantu masyarakat terutamanya golongan kurang berkemampuan.

Bapa kepada tiga anak itu hanya berniaga berhampiran rumahnya di sekitar Jalan Gudang Ubat dan Jalan Awang turut dibantu isterinya, Sulastri Sibon, 50, dan seorang anak lelaki, Musa, 28.

Shamsudin turut bersedia berkongsi ilmu membuat sate dengan sesiapa sahaja yang berminat terutama bagi mereka yang baru dibuang kerja atau lepasan sekolah serta masih mencari peluang pekerjaan untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

Sementara itu, seorang pelanggannya, Rohana Jaafar, 37, yang tinggal di Kampung Gubah, Segamat mengakui sate yang dijual oleh Shamsudin sungguh enak.

“Walaupun dijual dengan harga 30 sen, namun saiz sate Shamsudin tidak dikecilkan. Saya memang berpuas hati setiap kali membeli sate tersebut lebih-lebih lagi apabila anak serta suami memang menggemari sate Shamsudin,” katanya.

Seorang lagi pelanggan tetap, Rahizi Ibrahim, 29, turut me*ngakui menggemari sate Shamsudin kerana rasanya sedap, murah dan bersaiz besar.

“Sebagai penduduk Segamat, saya berasa bangga kerana masih ada yang mampu menjual sate dengan harga murah, sekali gus mampu membantu golongan kurang berkemampuan serta menaikkan nama Segamat,” katanya.

Rujukan: Utusan

Post Tags:

Jillur Rahman

I'm Jillur Rahman. A full time web designer. I enjoy to make modern template. I love create blogger template and write about web design, blogger. Now I'm working with Themeforest. You can buy our templates from Themeforest.

No Comment to " Di Segamat, Jual Sate Secucuk 30 Sen Tetap Untung "