Tags:

Najib: Saya Lihat Ibu Bapa Mampu Bawa Anak-Anak Mereka Bercuti & Beli-Belah Raya

By Hafiz.H Thursday, April 28, 2016
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tiada pihak yang boleh menafikan bahawa kedudukan ekonomi dan tahap sosioekonomi rakyat Malaysia adalah baik dan wajar dibanggakan.

Berdasarkan lawatan-lawatan rasmi dan tidak rasminya, katanya beliau melihat ramai rakyat kini memiliki kualiti kehidupan yang baik, malah boleh disifatkan antara yang terbaik di rantau ini.


"Misalnya, saya lihat ibu bapa di bandar-bandar dapat membawa anak-anak mereka bercuti dan membeli-belah terutama menjelang musim cuti sekolah.

"Saya juga diberitahu, semasa MATTA Fair (Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia) baru-baru ini, penjualan pakej-pakej percutian dan tiket-tiket penerbangan begitu laris sekali. Malah, promosi dan jualan hari-hari perayaan seperti Aidilfitri sudah pun bermula seawal bulan lepas," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2015 di Angkasapuri di sini, malam ini. Pelancaran itu disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata keadaan sosioekonomi sebenar negara dan rakyat bertentangan dengan apa yang cuba dimomokkan dan dipersepsikan secara negatif oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Justeru itu, beliau meminta rakyat menolak dan menepis semua pandangan yang tidak membina itu kerana kerajaan sekarang tekad menumpukan segala agenda dan usaha untuk memakmurkan negara dan mensejahterakan rakyat.

Perdana Menteri turut berkongsi dengan rakyat tentang beberapa pencapaian hasil kejayaan NTP yang disifatkannya amat membanggakan.

Beliau berkata pada 2010, kerajaan mengumumkan komitmen agar perkhidmatan awam ditransformasikan supaya mutu perkhidmatan kepada rakyat dapat dipertingkat.

"Hasil daripada komitmen itu, tempoh menunggu di 17 hospital kerajaan dapat dipendekkan sehingga 50 peratus dan memanfaatkan kira-kira dua juta pesakit," kata beliau.

Menurutnya hasil transformasi kawasan luar bandar juga menyaksikan seramai 5.5 juta rakyat dapat menikmati kemudahan air, elektrik dan jaringan jalan raya.

"Sejak lima tahun lepas juga, hampir tiga juta rakyat dapat menggunakan 5,300 kilometer jalan raya baharu yang telah dibina. Seterusnya lagi, dalam tempoh sama, kira-kira 1.7 juta lagi rakyat mendapat akses kepada air paip yang menyediakan bekalan air bersih kepada lebih 340,000 isi rumah, manakala sejumlah 144,000 isi rumah lain mendapat akses kepada bekalan elektrik 24 jam," katanya.

Sumber: Bernama

Post Tags:

Jillur Rahman

I'm Jillur Rahman. A full time web designer. I enjoy to make modern template. I love create blogger template and write about web design, blogger. Now I'm working with Themeforest. You can buy our templates from Themeforest.

No Comment to " Najib: Saya Lihat Ibu Bapa Mampu Bawa Anak-Anak Mereka Bercuti & Beli-Belah Raya "