Tags:

Tak solat, Tak Payah Sekolah, Cara Ibu Ini Didik 11 Anak Hingga Berjaya

By Hafiz.H Friday, April 22, 2016
Ini cara seorang ibu dari Kampung Tiong, Gua Musang, Kelantan mendidik 11 anaknya hingga enam daripadanya berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading.

Akui Wan Siti Esah Ghazali, 54, dia dan suami, Mohd Zain Deraman, 57, sememangnya tegas dalam membesarkan anak  kerana mahu melihat mereka berjaya dalam hidup.


“Sejak kecil, saya memang asuh utamakan solat. Saya akan kejut anak-anak bangun pagi untuk solat sebelum ke sekolah. Kalau mereka tak solat, saya tak benarkan mereka ke sekolah kerana tiada guna menuntut ilmu kalau benda wajib kita gagal tunaikan.

"Ilmu pun tak masuk dalam kepala kalau tak solat. Hanya itu amaran saya gunakan untuk membesarkan mereka. Alhamdulillah, kesemuanya mendengar kata,” katanya.

Besar Anak Dalam Kampung Setinggan

Biarpun dibesarkan dalam perkampungan setinggan yang sinonim dengan masalah sosial, pasangan suami isteri ini berjaya menempatkan anak mereka di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

“Anak pertama, Mohd Zulkifli, (34) diserang sawan ketika sembilan tahun. Namun, dia boleh baiki gajet dan komputer. Anak kedua, Mohd Azizul, (32) kini penyelia di stesen minyak adalah graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Anak ketiga, Mimiliza, (30) juga bekas graduan dan kini memiliki restoran di bandar ini. Keempat, Mohd Imran, (28) kini bertugas sebagai tentera. Kelima, Mohd Afiq Akram, (26) bekas pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan kini bertugas sebagai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Keenam, Norwahidayu, (24) kini pegawai bank lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan kembar, Mohd Syazwan dan Mohd Syazwin, berada di Matrikulasi Banting dan Universiti Malaysia Pahang (UMP),” katanya lagi.

Menurutnya, tiga lagi anaknya iaitu Norshafieqa, 17, Mohd Shahril, 15 dan Mohd Naim, 10, masih di bangku persekolahan.

“Melihat pencapaian Shafieqa di sekolah, Insya-ALLAH, dia ada harapan mengikut jejak langkah abang dan kakaknya.

“Saya bersyukur kepada ALLAH SWT kerana biarpun diuji dengan kesusahan, ALLAH gantikan kami dengan musim menuai yang tidak disangka.

“Saya dan suami kini hanya hidup dengan bantuan anak-anak. Mereka menghantar wang setiap bulan dan memberikan kami kereta untuk memudahkan ke mana-mana,” katanya.

Pernah Ke Sekolah Tanpa Wang Saku

Berkongsi cabaran membesarkan anak-anak, Esah memberitahu anak-anaknya pernah ke sekolah tanpa membawa duit saku dan berlapar sehingga pulang ke rumah.

“Paling banyak yang saya mampu 50 sen seorang kerana suami kerja kampung. Kadang kala, tiada langsung. Namun anak-anak tetap ke sekolah dan makan apabila sampai ke rumah.

“Ketika anak-anak di IPT, semua tak menyusahkan. Mereka berdikari sendiri dan saya hanya masukkan beberapa kali sahaja dengan jumlah RM50 setiap transaksi,” katanya sebak.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Sheikh Razali Sheikh Hamad berkata, kejayaan pasangan suami isteri ini mendidik anak-anak hingga berjaya perlu diberi penghargaan.

Dia juga mencadangkan agar Wan Siti Esah mendapat pengiktirafan di peringkat negeri dan sememangnya layak menerima Anugerah Tokoh Ibu Mithali.

“Di sini, ada tiga kampung disenaraikan kawasan hitam iaitu Kampung Tiong, Kampung Lembaga dan Kampung Baru di mana masalah dadah dan sosial yang tinggi.

“Namun, dalam keadaan kawasan setinggan penuh pengaruh gejala sosial, ibu ini berjaya mendidik anaknya sehingga berjaya,” katanya lagi.

Rujukan: SinarHarian

Post Tags:

Jillur Rahman

I'm Jillur Rahman. A full time web designer. I enjoy to make modern template. I love create blogger template and write about web design, blogger. Now I'm working with Themeforest. You can buy our templates from Themeforest.

No Comment to " Tak solat, Tak Payah Sekolah, Cara Ibu Ini Didik 11 Anak Hingga Berjaya "