Browsing "Older Posts"

Tak Sempat Vaksin, Anak Tanggung Derita Demam Campak

By Hafiz.H → Thursday, June 23, 2016
DISCLAIMER: Ini adalah status berdasarkan pengalaman sendiri dan perbandingan di antara anak-anak saya sendiri. Tiada kena mengena dengan anak orang lain. Mohon baca dan comment dengan berlapang dada.
Setelah beberapa hari di hospital, akhirnya doktor mengesahkan Nia Naqisha dijangkiti Measles. Bahasa senang nak faham, demam campak. Akhirnya terjawab persoalan mengapa Nia demam suhu tinggi tetapi bila diperiksa darah, normal. X-ray paru-paru pun clear.

Untuk pengetahuan, Nia tidak sempat ambil vaksin MMR untuk umur satu tahun. Vaksin yang lain semua dah ambil (saya ulang, tak sempat. Bukan tak nak). Disebabkan ini, maka komplikasinya agak teruk berbanding budak lain yang kena Measles tetapi dah vaksin.

Saya ambil contoh terdekat, abang Riyfhann yang kena Measles. Riyfhann full vaksin tetapi dia kena Measles sekejap sahaja. Admit hospital hanya 3 hari (13-15 Jun) Sekarang dah sihat walafiat.

Hari ini Riyfhann discharged, esok Nia pula admit hospital pada 16 Jun. Jadi, kebarangkalian sangat besar Nia berjangkit dari Riyfhann.

Kenapa saya kata Nia tak sempat ambil vaksin? Sebab semasa Nia berumur satu tahun, dia baru discaj hospital (pembedahan jantung berlubang dan berkampung hampir 3 bulan di hospital). 

Saya pernah bawa Nia ke klinik kesihatan untuk vaksin MMR, tetapi mereka minta dijarakkan dulu sebab Nia baru saja keluar hospital (Nia mengalami pelbagai komplikasi selepas pembedahan sehingga terpaksa duduk wad ICU dan di intubate selama 2 bulan. Jadi saya faham kenapa mereka nak jarakkan vaksin untuk Nia yang baru discaj hospital).

Kemudian, dengan pelbagai siri demam dan admit hospital, buat jadi bertangguh-tangguh nak ambil vaksin MMR ini sehinggalah Nia dijangkiti Measles.

"Maafkan ibu, Nia..."


Untuk budak seperti Nia yang tiada vaksin MMR, komplikasinya agak teruk jika dibandingkan dengan budak yang ambil vaksin MMR tetapi kena Measles.

Antara komplikasi-komplikasi yang Nia sudah lalui setakat ini:

  1. Demam dengan suhu sangat tinggi, 38.6'c ke 40.0'c, tanpa kebah langsung walaupun sudah diberi PCM/SUPP
  2. Petang 21 Jun, tiba-tiba nafas Nia menjadi sangat laju. Bacaan RR 95/minit (normal 40-45/minit)
  3. Kadar oksigen SPO2 Nia juga turun ke 70% hinggakan nasal prong dengan 1L okisgen terpaksa ditukarkan kepada oksigen mask dengan 5L oksigen.
  4. Kadar degupan jantung juga meningkat hingga 175
  5. Bila doktor check, rupa-rupanya paru-paru Nia sudah menjadi sempit dan tak kembang. Ini yang membuatkan Nia susah bernafas dan bernafas laju
  6. Nia nyaris dimasukkan ke wad ICU dan intubate gara-gara kejadian di atas ini. Doktor dah call wad ICU suruh doktor di sana bersedia. Tetapi alhamdulillah, Nia kuat berjuang. Setelah nebulizer tiga kali berturut-turut dan tinggikan dos oksigen, nafas Nia menjadi kurang laju sedikit dan paru-paru Nia dapat mengembang dengan normal. Untuk pengetahuan, masa ini Nia tak sedarkan diri (jujur cakap, ini antara pengalaman cemas saya semasa di hospital kerana empat orang pakar bertungkus lumus nak menyelamatkan Nia). 
  7. Sejak kejadian petang 21 Jun itu, doktor selalu memantau perkembangan Nia. Setiap 1-2 jam, doktor akan datang melihat dan memeriksa pernafasan Nia.
  8. Sejak kejadian itu juga, Nia kena nebulizer satu jam sekali pada mulanya dan alhamdulillah beransur-ansur kurang penggunaan nebulizer. Terkini hanya 3 jam sekali saja nebulizer. 
  9. Untuk pengetahuan, kejadian ini bukan disebabkan masalah jantung Nia yang sekarnag sihat. Tetapi ini lebih kepada komplikasi paru-paru. 
  10. Demam Nia sudah semakin berkurangan sejak campak Measles keluar. Sekarang dalam proses nak keluar di bahagian kaki. 
  11. Sekarang Nia sangat tidak aktif. Sudah dua hari dia baring sahaja dengan mata sentiasa terpejam. Kalau gerak-gerak tangan dia, memang ada respon tetapi perlahan. Kalau cubit kaki dia, baru dia ada respon kuat tarik kaki. 
  12. Nia tak nak makan dan minum. On IV drip 26m/hour buat masa ini (masa kes nafas Nia laju, Nia kena puasa). 


Setakat hari ini Nia tak batuk dah, muntah pun tiada, nafas yang laju pun dah tak selaju sebelum ini (sebelum ini RR95/min). Sekarang dalam RR49/min. Setakat hari ini juga doktor dah on 3 antibiotics (Cefuroxime, Klacid, Amikacin) dan vitamin A. Masih guna oksigen mask (3L oksigen).
Untuk info, bagi budak yang tiada MMR dan kena Measles, antara komplikasinya memang boleh mendatangkan kesan pada paru-paru serta otak. Kes paling teruk, boleh sampai koma atau kematian (nauzubillah).

Dugaan saya bila Allah beri kedua-dua anak dijangkiti Measles. Seorang tak teruk sebab dah vaksin. Seorang lagi agak teruk sebab tak sempat vaksin. Saya vaksin anak saya demi kebaikan dan kemaslahatan anak-anak. Ini saya anggap antara usaha saya, selebihnya Allah yang Maha Penentu. Sama juga bila saya pilih untuk operate anak saya. Itu pun salah satu usaha saya nak bagi anak sihat. Dah usaha dan ikhtiar, barulah saya berdoa, doa dan doa.

Saya bukan jenis hanya duduk diam berdoa semata-mata sahaja. Bukan sekadar menyerah segalanya pada takdir semata-mata. Kalau berserah pada takdir semata-mata, itu ibarat kita pergi melintas jalan tetapi tak tengok kiri kanan. Begitulah mereka yang berserah pada takdir semata-mata.

Mereka yang tidak melaluinya dan tak kena pada batang hidung sendiri mungkin boleh cakap macam-macam. Saya dah dan sedang melaluinya sekarang ini. Be in my shoes first and walk a mile before you judge me. If you think Measles is a small matter, think again.

Artikel diatas adalah perkongsian dan nukilan sepenuhnya seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama E-car Nazrin.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan panduan buat pembaca dan para ibu bapa di luar sana.

Rujukan: PixelMedia

Pengerusi NGO Anti-Jenayah Ditahan Minta Wang Perlindungan Dari Tauke Judi

By Hafiz.H →
KUALA LUMPUR 23 Jun - Seorang pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) anti-jenayah bergelar Datuk ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Plaza Tol Nilai dekat sini hari ini selepas dikatakan menerima wang perlindungan daripada pengusaha judi ekor haram.
Datuk berusia lingkungan 30-an itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, kira-kira pukul 10.50 malam ini.

Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Roslee Chik yang mengesahkan penahanan itu berkata, suspek yang ditahan seterusnya dibawa ke Bukit Aman untuk siasatan lanjut.


KUALA LUMPUR 23 JUN - Pengerusi NGO bergelar Datuk (di dalam kereta) yang dikatakan meminta wang perlindungan daripada seorang pemilik pusat perjudian haram ketika di bawa ke Bukit Aman di sini malam tadi untuk di soal siasat.
Menurut beliau, penahanan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada pengusaha yang dipercayai bertanggungjawab menjalankan aktiviti judi ekor haram di negeri tebabit.

"Akibat tidak tahan sering diperas ugut oleh Datuk terbabit sebanyak RM25,000 sebulan, mangsa membuat keputusan untuk melaporkan kes berkenaan kepada pihak polis.

"Selain itu, mangsa juga turut mempunyai bukti rakaman suara Datuk berkenaan melakukan ugutan ke atasnya sekiranya tidak mahu kegiatan mangsa didedahkan oleh pihak media atau dilaporkan kepada polis," katanya.

Rujukan: Utusan

Nasi Mandi Dijual Pada Harga RM122,000

By Hafiz.H → Wednesday, June 22, 2016
Riyadh: Hidangan nasi mandi, makanan tradisional masyarakat Arab yang dihidangkan bersama ayam atau daging kambing dijual dengan harga SR113,600 (RM122,000) dalam satu acara memungut derma.
ABDULLAH kanan menunjukkan nasi mandi yang dijual dengan harga RM122,000.


Penjualan itu dibuat sebagai sebahagian daripada lelongan awam di pulau Tarout, Wilayah Timur di Arab Saudi untuk mengumpul dana bagi meningkatkan kehidupan anak yatim dan mereka yang memerlukan.

Ketua badan kebajikan masyarakat tempatan, Abdullah Al Alaiwat yang menganjurkan lelongan itu berkata, matlamatnya ialah untuk mengukuhkan hubungan dan kerjasama dalam kalangan setiap penduduk.

“Jumlah yang diperoleh dalam acara yang diadakan sebelum sahur itu ialah SR136,550 (RM147,000). Kami mahu mendekati masyarakat dan memastikan mereka menyertai semua aktiviti yang dianjurkan,” katanya, dipetik oleh akhbar Okaz, kelmarin.

Pengguna dalam talian turut menyambut baik rancangan itu dan memuji semangat kerjasama melalui aktiviti kebajikan.

Rujukan: HarianMetro

Pesawat Tabur Baja Terhempas Di Ladang Teh Boh, Cameron Highlands

By Hafiz.H →
CAMERON HIGHLANDS: Sebuah pesawat ringan milik Syarikat Boh Plantation terhempas di sebuah tokong cina di Tringkap, di sini, petang ini. 

Dalam kejadian itu jam 1.30 petang, pesawat ringan jenis G- 164B Gulfstream America yang dipandu Kapten Peter Hardy, 56, gagal dikawal sebelum terhempas.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zainal Abidin Othman, berkata pesawat yang digunakan untuk menabur baja yang dipandu juruterbang warga Australia terhempas di kawasan kebun sayur di Tringkap, Brinchang di sini.

"Ketika kejadian, juruterbang berkenaan sedang menabur baja di ladang teh Sungai Palas sebelum terhempas.

"Juruterbang berkenaan bagaimanapun hanya cedera ringan," katanya.


SEBUAH pesawat ringan milik Syarikat Boh Plantation terhempas di sebuah tokong cina di Tringkap, Cameron Highlands, petang ini. - Foto ihsan bomba
Rujukan: BeritaHarian

Pelancong Guna Uber Cedera Diserang 50 Pemandu Teksi Di KL Sentral

By Hafiz.H →
PETALING JAYA: Seorang pelancong wanita cedera selepas lebih 50 pemandu teksi menyerang kereta Uber yang dinaikinya di KL Sentral, kelmarin.

Menurut laporan China Press, kejadian itu berlaku pada pagi Isnin lalu apabila sepasang kekasih dari Iran yang baru mendarat di Malaysia menggunakan perkhidmatan perkongsian kenderaan Uber.

Lebih 50 pemandu teksi yang “bersembunyi” di KL Sentral bertindak menyerang pasangan itu sebaik sahaja mereka memasuki kereta Uber itu.

Pasangan itu bersama pemandu Uber terbabit ditarik keluar dari kereta sebelum kumpulan suspek itu menggunakan batu untuk memecahkan tingkap kereta.


Pelancong wanita yang cedera itu kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dirawat, manakala pemandu Uber pula membuat laporan di balai polis.

Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, ACP Nazri Hussain yang dipetik akhbar berbahasa Cina itu sebagai berkata, kes itu yang dikategorikan sebagai jenayah telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah untuk disiasat.

Bagaimanapun jelasnya, jika membabitkan kemalangan, kes sedemikian akan diserahkan kepada bahagian trafik dan penguatkuasaan untuk disiasat.

“Asalkan mangsa dapat membuktikan suspek sengaja berbuat demikian, polis akan menyiasat dan tidak akan melepaskan pihak berkaitan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemandu teksi supaya mengawal diri dan tidak menggunakan keganasan dalam perbalahan dengan pemandu Uber dan Grabcar atau mereka akan dikenakan tindakan.

Rujukan: Freemalaysiatoday

Pau Cendawan Jadi Viral

By Hafiz.H →
Putrajaya: “Akak datang esok boleh, pau dah habis.”

Itu dialog biasa diucapkan pengusaha pau cendawan, Rohani Saleem, 47, kepada pelanggannya di tapak Bazar Ramadan Putrajaya 2016 bersebelahan Istana Kehakiman di Presint 3, di sini.
Namun, apa yang mengecewakan, dialog pau dah habis itu diucapkan seawal jam 5 petang setiap hari sejak awal Ramadan lalu.

Pau cendawan dijual Rohani dan suaminya, Hassan Ahmad, 48, tiba-tiba menjadi fenomena penduduk di sekitar Putrajaya dan kawasan sekitar apabila kisah kelazatan dan keunikan pau seakan cendawan butang itu viral di laman sosial awal Ramadan lalu.
Wartawan sempat berkunjung di bazar Ramadan itu bagi melihat sendiri kesahihan viral itu dan terbukti ia benar apabila lebih 50 pelanggan dilihat sudah beratur bagi mendapatkan pau cendawan unik itu.


Bayangkan, lebih 1,000 pau cendawan disediakan setiap hari terjual dalam tempoh tidak sampai sejam, malah setiap pelanggan dihadkan membeli hanya enam biji pau sahaja.

Rohani berkata, dia dan suami tidak menjangka pau unik mendapat sambutan luar biasa terutama selepas kisah pau itu diviralkan di laman sosial.

Beliau berkata, sejak seminggu lalu, dia menghadkan jualan pau kepada enam biji bagi setiap pelanggan bagi membolehkan lebih ramai pelanggan merasai pau itu.
“Kami dapat menghasilkan 1,000 pau sehari kerana kaedah menghasilkan pau itu rumit dan ia dihasilkan seratus peratus menggunakan tangan,” katanya.

Katanya, sebelum ini, dia dan suami mengusahakan perniagaan pau sejak lima tahun lalu sebelum timbul idea menghasilkan pau unik itu menerusi sebuah dokumentari di China.

Rohani berkata, pau cendawan itu mengandungi cendawan butang, tomato dan isi ayam serta ia dijual pada harga RM3.50 sebiji dan RM10 bagi tiga biji.

Sementara itu, seorang pelanggan, Jamil Abd Samad, 62, berkata, dia mengetahui keunikan pau itu selepas dimaklumkan isterinya sebelum datang sendiri semalam untuk beratur mendapatkan pau itu.
GERAI pau cendawan diusahakan Rohani dan suaminya di Presint 3, Putrajaya.
Rujukan: HarianMetro

Jika Seorang Asnaf Dapat Zakat RM1 Juta, Dalam 10 Tahun Ada 700 Jutawan Islam?

By Hafiz.H →
SHAH ALAM - Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) semalam tampil menjawab isu RM70 juta untuk 70 asnaf yang menjadi viral di media sosial baru-baru ini.

Melalui akaun Facebook PPZ, pihaknya menegaskan zakat fitrah yang dikutip akan diagihkan dan tidak pernah berlaku mana-mana jumlah yang terkumpul disimpan untuk kepentingan sesiapa.
Dakwaan yang viral di media sosial.


“Viral baru-baru ini satu status Facebook maka, MAIWP terpanggil untuk bagi penjelasan. Tahun lepas RM8.2 juta zakat fitrah dikutip daripada sejuta umat Islam di Wilayah Persekutuan.

“Pada bulan puasa sahaja MAIWP dah agih lebih RM12 juta kepada lebih 30 ribu asnaf bagi Bantuan Aidilfitri. Begitulah MAIWP memanfaatkan zakat yang anda bayar. Tidak pernah kami menyimpannya untuk sebarang kepentingan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Status yang menjadi viral itu mendakwa hasil kutipan zakat berjumlah RM 70 juta itu jika diagihkan kepada 70 orang asnaf RM 1 juta setiap seorang, Malaysia bakal memiliki 70 orang jutawan dan dalam tempoh 10 tahun, negara bakal memiliki 700 jutawan Islam.

Menyentuh soal dakwaan itu, PPZ menjawab, jika hanya 70 asnaf yang menerima, nasib 30,000 lagi penerima secara bulanan tidak ada terbela.

“Bagaimana pula dengan institusi masjid, surau, sekolah rendah agama yang menerima dana zakat bagi membiayai bilal, imam, noja dan guru Kafa? Bagaimana dengan lebih 23,000 pelajar sekolah yang menerima bantuan zakat untuk belajar?

“Sungguh luas ilmu zakat itu. Mungkin dia pakar ilmu Matematik tapi bukan Ilmu zakat. Kita ada al-Quran dan Sunnah untuk dapatkan jawapan Matematiknya,” katanya.

Rujukan: SinarHarian

Beza iPhone Tiruan Dengan Original

By Hafiz.H → Tuesday, June 21, 2016
Kini terlalu banyak iPhone yang kita nampak macam original tapi sebenarnya ia iPhone klon atau iphone yang telah dibaiki dan dijual semula.
Secara jujurnya, iphone masih lagi menjadi pilihan orang ramai terutamanya remaja.

Bagi yang biasa dengan system iOS, mereka sudah tahu bezakan User Interface (UI) iOS yang original, dan juga secara fizikal iPhone berkenaan. Bagi yang tidak biasa pula, mereka mungkin tidak tahu langsung perbezaannya. Ini adalah langkah bezakan iPhone original dengan iPhone Klon.


1. Simkad yang telah dipotong, MicroSim untuk iPhone 4/4S, Nano Sim untuk iPhone 5 ke atas.

2. Masukkan simkad untuk pastikan iphone original. Simkad diperlukan untuk masuk homescreen. Iphone klon tidak memerlukan simkad. Cara ini juga boleh mengetahui sama ada iPhone tersebutsimlocked atau unlocked. Jika Sim Not Valid, itu tandanya Sim Locked(tidak boleh guna Telco Malaysia secara asasnya).

3. Connect to Internet (Wifi atau Mobile Data) > masuk AppStore > Download simple apps macam Apple Store > nanti akan popup untuk sign in Apple ID. Untuk klon, ia akan minta Google Play atau selain daripada Apple ID. 

4. Boleh juga masuk di Settings > General > About , dan tengok kapasiti. Kapasiti iPhone original tidak akan tepat-tepat. Contohnya kalau 16GB, kapasiti iPhone original adalah dalam 11.0 hingga 13 GB sahaja, bukan 16GB. 

Iphone baru mestilah mempunyai warranty yang belum lagi diaktifkan. Semak warranty anda di checkcoverage.apple.com ambil serial number pada Setting>General>About.

Info pada kotak boleh ditiru, tetapi info pada settings iPhone original tidak boleh ditiru.
Gambar di atas jelas menunjukkan Iphone belum lagi diaktifkan. Untuk Iphone second hand, warranty sudah diaktifkan ataupun telah habis.
Tolong JANGAN PERCAYA seller macam ini.
IMPORT set yang BARU, mestilah mempunyai warranty yang belum diaktifkan.
Dengan itu la ia layak dipanggil set baharu.

Jika warranty sudah habis atau masih berjalan official warranty Apple, itu tandanya iPhone itu second hand atau refurbished.

Anda boleh juga check Calling Time, untuk melihat, pergi ke Settings > Mobile/Cellular > Call Time > LifeTime , jika bukan 0, maknanya, sudah digunakan untuk membuat panggilan ataupun ianya adalah unit Second Hand.

Jadi sebelum membeli tak kira jenama apa, pastikan anda rujuk pada yang pakar.

Rujukan: Clickuz.com

Kaji Punca Warga Tempatan Suka Nikah Warga Asing

By Hafiz.H →
KUALA LUMPUR: Kajian terperinci perlu dilaksanakan bagi mengetahui faktor yang menyebabkan warga tempatan lebih cenderung menikahi warga asing berbanding penduduk tempatan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kajian seperti itu wajar dilakukan dengan mengambil kira trend semakin ramai masyarakat di negara ini memilih berbuat demikian.


"Saya rasa ini perlu dibuat kajian secara lebih saintifik, mungkin semua orang tahu kalau kita bercakap soal percintaan, tetapi mungkin juga ada faktor lain seperti adakah kerana mereka hanya nak dapatkan status PR (penduduk tetap) dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab persidangan Dewan Negara, di sini hari ini, bagi menjawab soalan tambahan Datuk Dr Johari Mat mengenai perkara itu.

Terdahulu ketika menjawab soalan Tan Sri Dr Mohd Ali Mohd Rustam mengenai bilangan rakyat Malaysia yang berkahwin dengan rakyat luar negara, Asyraf Wajdi berkata, maklumat berkaitan perkahwinan atau pendaftaran orang Islam di negara ini termasuk luar negara di bawah seliaan dan pengurusan jabatan agama Islam negeri berkenaan.

"Sebagai contoh, daripada maklumat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), bilangan rakyat Malaysia berkahwin dengan rakyat luar negara antara 2011 hingga 2015 berjumlah 2,144 orang.

"Ia membabitkan 2,028 warga asing lelaki dan 116 orang warga perempuan," katanya.

Rujukan: BeritaHarian

Ayahanda Raih RM100,000 Seminggu Jual Barangan Terpakai

By Hafiz.H → Monday, June 20, 2016
RANTAU PANJANG: Hanya dengan menjual pelbagai barangan terpakai, seorang peniaga di sini, mampu memperoleh hasil jualan mencecah RM100,000 seminggu. 

Mohd Zulkiflee Mohamed, 51, yang digelar 'Ayahanda Raja Lelong' mengusahakan perniagaan itu berdekatan Masjid Beijing, di sini, sejak 32 tahun lalu dengan mengamalkan konsep jualan lelong pada harga murah.

Pelbagai barangan seperti perabot, barangan elektrik, tilam, alat permainan kanak-kanak dan basikal terpakai dari Singapura boleh didapati dengan hanya mengunjungi premis berkenaan.

Malah, pengunjung bukan sahaja terdiri daripada penduduk tempatan, sebaliknya peniaga perabot dan barangan terpakai dari Thailand turut singgah membeli, sebelum dijual semula di Narathiwat, Pattani dan Yala, Thailand.
Mohd Zulkiflee Mohamed (kanan), bersama seorang pengunjung gudangnya, Mustafa Hasan, 60. Foto (BH)


Mohd Zulkiflee berkata, bermula Ramadan ini, beliau membawa masuk 10 treler penuh muatan barangan lelong bernilai RM350,000 untuk jualan di gudangnya.

"Barangan yang dilelong ini adalah yang terpilih dari segi kualiti dan ketahanan. Kami turut memberi jaminan tiga bulan yang mana pelanggan boleh menukar dengan barangan lain jika ada kerosakan atau kami akan membaiki barangan yang rosak secara percuma.

"Setakat ini, perabot adalah barangan yang mendapat permintaan tinggi dan dijual dengan harga RM500 hingga RM1,200, yang mana ada sesetengah perabot harga asalnya bernilai RM3,000.

"Saya melelong dengan harga yang cukup murah seperti basikal kanak-kanak hanya dijual RM40 hingga RM70 manakala basikal dewasa pula RM90 hingga RM120 sebuah.

"Dalam beberapa minggu lagi saya akan melelong 'sport rim' dengan harga serendah RM250 satu set," katanya yang juga memiliki gudang di Kok Lanas, Pasir Puteh dan Gong Badak, Terengganu.

Mohd Zulkiflee berkata, berikutan perniagaannya mendapat sambutan ramai termasuk dari Thailand, beliau berhasrat membina satu bangunan dan melelong barangannya berkonsepkan 'satu barang, satu blok'.

Selain menjalankan perniagaan terpakai, Mohd Zulkiflee juga adalah pengusaha kasut berjenama di Kemboja yang diusahakan bersama rakan kongsi warga Thailand.

Rujukan: BeritaHarian

Datuk Seri Cabut Lari Lepas Ferrari 'Pink' Dipandu Langgar Preve

By Hafiz.H →
Kuala Lumpur: Seorang individu bergelar Datuk Seri yang memandu kereta mewah Ferrari berharga lebih RM1 juta bertindak ‘cabut lari’ sejurus melanggar sebuah kereta lain.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, semalam lelaki itu dipercayai hilang kawalan akibat memandu dalam keadaan mabuk berhampiran jejambat Jalan Tun Razak menghala ke Jalan Ampang, di sini.

Kenderaan mewah berkenaan dikatakan melanggar bahagian belakang sebuah kereta Proton Preve sebelum pemandunya melarikan diri selepas kemalangan.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Shafie Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita berusia 52 tahun yang memandu Proton Preve berkenaan.

Susulan itu kedua-dua kenderaan ditunda ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.


“Kemalangan itu mengakibatkan kereta Proton Preve mengalami kerosakan di bahagian belakang manakala kereta Ferrari itu remuk di bahagian hadapan. Kedua-dua pemandu berkenaan tidak cedera.

“Pemandu kereta mewah itu bagaimanapun tampil di balai polis sebelum diarah menjalani ujian alkohol petang semalam,” katanya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Rujukan: HarianMetro

Kejam! Kaki Nenek Tua Putus Ditetak Remaja 'Mat Gian' Hanya Kerana Enggan Beri Wang

By Hafiz.H →
Pasir Mas: Wanita warga emas putus pergelangan kaki kiri selepas ditetak remaja lelaki yang cuba menyamunnya di rumahnya di Kampung Tanjung Rendang, Lemal, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 6 petang tadi ketika mangsa, Mek Som Mat Diah, 89, berehat di ruang tamu rumahnya bersama seorang anak perempuan berusia 50-an.
Difahamkan, remaja berusia 19 tahun yang juga jiran sekampung mangsa menceroboh rumahnya dan meminta wang.

Bagaimanapun, dia mula bertindak agresif apabila mangsa dan anaknya enggan memberikan wang diminta.

Anak perempuan Mek Som berjaya melarikan diri ketika kejadian, namun Mek Som ditumbuk di muka dan kakinya ditetak dengan senjata dipercayai jenis pisau.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Ibrahim Saad ketika dihubungi mengesahkan kejadian.


Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas sebelum dirujuk di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

"Suspek sudah ditahan penduduk kampung yang melihat kejadian dan akan dibawa ke Mahkamah Pasir Mas esok untuk perintah tahanan reman," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan ujian air kencing terhadap remaja itu mendapati dia positif dadah.

Rujukan: HarianMetro

Netizen Puji Majlis Berbuka Puasa Di Gereja

By Hafiz.H →
KUCHING - Ramai netizen memuji satu majlis berbuka puasa yang didakwa dianjurkan sebuah gereja di Kuching, Sarawak selepas sekeping gambar tersebar di laman media sosial.

Menurut Facebook Sarawak Edition, majlis berbuka puasa itu berlangsung di Pusat Kariah Kristian St Joseph di Kuching untuk umat Islam setempat.

Catatan itu diterima baik netizen apabila ia mendapat 11,000 ‘like’ dan dikongsi lebih 7,600 kali sehingga kini.

Satu lagi Facebook S4S Ari Dayak yang turut berkongsi gambar sama mendakwa majlis itu diadakan semalam.


“Ini adalah semangat berbilang kaum dan budaya di Sarawak yang harmoni dan bersatu padu,” keterangan yang disertakan dengan gambar sekumpulan umat Islam berkumpul di gereja itu.

Gambar itu dikreditkan kepada Colin Wei.

“Orang di sini lebih bijak…tidak seperti orang di Semenanjung,” tulis seorang pengguna Facebook, Ryan Yap.

Seorang lagi pengguna Facebook, Aron Reed berkata: “Inilah sebabnya saya hormat Sarawak. Tiada rasisme.”

“Kami di sini di Sarawak tidak pernah rasis. Kami hidup dalam harmoni, kami hidup bersama. Tolong bersikap matang. Bumi ini bukan milik kita, ia milik Tuhan,” tulis pengguna Facebook, Iza Iza.

Rujukan: Freemalaysiatoday

8.30 Malam Masih Belum Berbuka, Uncle Kuan Bawa 8 Beradik Berbuka Puasa

By Hafiz.H → Saturday, June 18, 2016
SEORANG lelaki bernama Kuan Chee Heng kini menjadi sebutan rakyat Malaysia selepas gambarnya memberi makan kepada sebuah keluarga susah untuk membuka puasa, tersebar menjadi viral di laman Facebook.

Dalam status yang dimuat naik, Kuan memberitahu, terdapat seorang ibu bersama lapan orang anaknya masih belum berbuka puasa meskipun jam sudah menunjukkan pukul 8.3o malam.

“Lapan adik beradik ditinggal ayah bersama ibu. Hidup dalam gelap gelita api dipotong dan air dipotong.

“Jam sudah 8.30 masih belum berbuka sebab tiada apa yang boleh di makan. Saya menjemput mereka semua untuk makan. Bantulah mereka kerana keadaan mereka yang sangat memerlukan,” ujarnya.

Walaupun berlainan agama dan bangsa,  sifat yang prihatin dan ikhlas yang ditonjolkan Kuan menyentuh hati ramai.


Rata-rata netizen khususnya memuji tindakan yang beragama Islam memuji tindakan lelaki ini.

Gambar yang dikongsi Kuan juga menunjukkan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum boleh hidup aman damai dan harmoni.

Tidak sampai 24 jam dimuat naik, status Kuan telah mendapat hampir 30,000 likes dan lebih 15, 000 shares.

Dalam perkembangan terbaru, susulan insiden ini menjadi viral, Kuan memberitahu, pemilik rumah yang disewa keluarga susah ini memberi tempoh masa untuk keluarga ini tinggal sehinggalah mereka mendapat rumah zakat.

Selain itu, bil air dan api rumah keluarga ini akan dilangsaikan setelah mereka mendapat kutipan zakat.

Kesusahan keluarga ini turut mendapat perhatian Zakat Selangor yang berjanji akan memberi bantuan secepat mungkin.

Rujukan: Mynewshub

5 Fakta Menarik 'Si Pelari Pecut' Federal Highway Yang Anda Pasti Nak Tahu

By Hafiz.H →
Bintang baru Federal Highway.

Semalam viral di media sosial apabila seekor burung unta kelihatan sedang berlari-lari seperti sedang menyertai maraton di Lebuhraya Persekutuan.

Video itu telah dirakam dan dimuatnaik di laman Facebook dan Instagram oleh seorang netizen dan terus menjadi viral di laman sosial tersebut. Yelah, mana pernah nampak burung unta berlari-lari atas highway kan?
A video posted by Jeff Sandhu (@jeffsandhu) on

Burung unta tersebut dikatakan dalam perjalanan ke sebuah ladang di Semenyih sebelum ia melarikan diri melalui tingkap yang terbuka pada kenderaan yang membawanya kira-kira jam 3 petang semalam.

Nampaknya bukan saja Jeff Sandhu yang berpeluang merakam burung unta tersebut malah pengguna jalan raya lain juga ada berkongsi video burung unta itu di laman Facebook.
Bagaimanapun, ia dikatakan telah terjatuh di dalam sebuah longkang tetapi berjaya diselamatkan oleh orang awam.

Dan sejak semalam, si burung unta ini mula menjadi popular di Facebook dan orang ramai mula berkata mengenainya.
Jadi ini adalah 5 fakta menarik mengenai burung unta tersebut yang pasti anda nak tahu:

1. Namanya adalah 'Chickaboo'
Sejak semalam ramai yang tertanya-tanya dan agak confused dengan nama sebenar bintang baru ni. Pada mulanya, media melaporkan namanya adalah Peekaboo tetapi update terbaru mengatakan nama sebenarnya adalah Chickaboo.

Menurut tuannya, Darren Chow nama tersebut diambil daripada perkataan "chick" dan "peekaboo". Beliau berkata, nama tersebut dipilih berdasarkan personalitinya semasa ia menetas, lapor Channel News Asia.

2. Kelajuan lariannya ialah 35km/j
Menurut laporan The Star Online, Jeff Sandhu menganggarkan Chickaboo telah memecut pada kelajuan kira-kira 35km/j sebelum ia letih dan bergerak perlahan.

Info: Burung unta boleh berlari selaju 72.42km/j untuk jangka masa yang panjang.

3. Chickaboo baru saja berusia 6 bulan.
Menurut Darren, Chickaboo tidak pernah lompat keluar, sehingggalah semalam Chikaboo nekad melompat keluar daripada kereta dan mula berlari dari Universiti Malaya sehingga ke Midvalley.

4. Sangat mesra dan mempunyai Husky sebagai kawan.
Hiasan
Dilaporkan Chickaboo juga sering tidur bersama husky tersebut dan berteman dengan beberapa ekor haiwan lain seperti anjing dan ayam belanda.

5. Chickaboo sudah memang agak dikenali sebelum ini.
"Chickaboo terkenal dalam kalangan pelajar sekolah. Saya kerap membawa haiwan peliharaan saya untuk melawat sekolah" kata Darren.

"Ia juga bersama-sama saya apabila saya melawat gelandangan di Jalan Haji Taib. Ia merupakan burung unta yang popular dalam kalangan kanak-kanak di sana," .

Rujukan: Says.com

Kos Berbuka Di Masjid Nabawi Cecah RM1 Juta Sehari

By Hafiz.H →
MADINAH: Berbuka puasa di Masjid Nabawi dan sekitarnya adalah aktiviti yang dinanti-nantikan masyarakat di Madinah sepanjang Ramadan.
Bekalan juadah berbuka ini adalah hasil sumbangan syarikat tempatan serta hartawan dari sekitar Madinah.
Pelbagai juadah disediakan untuk jemaah di situ, yang mana setiap hari masjid Nabawi dipenuhi sehingga 700,000 jemaah.

Persediaan untuk jemaah berbuka di Masjid Nabawi bermula sebaik sahaja selesai solat Asar.

Petugas masjid dan sukarelawan akan menyusun juadah dan air di kawasan dataran serta di dalam masjid.

Bekalan juadah berbuka ini adalah hasil sumbangan syarikat tempatan serta hartawan dari sekitar Madinah.


Hiasan
Difahamkan kos bagi menyediakan juadah berbuka mencecah lebih RM1 juta sehari.

Pelbagai jaudah disediakan dari kurma dan roti sehingga ke nasi mandy.
Satu pemandangan yang mengkagumkan, lautan lapisan masyarakat dari seluruh pelusuk dunia berbuka puasa bersama, merasai nikmat Ramadan.

Dua puluh minit selepas berbuka, petugas akan mengemas kawasan berbuka tanpa meninggalkan kesan sisa makanan, dan solat Maghrib berjemaah dimulakan.

Rujukan: AstroAwani

Wahid Omar Tamat Khidmat Sebagai Senator, Menteri - Jadi Pemandu Uber

By Hafiz.H →
KUALA LUMPUR 18 Jun- Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Wahid Omar menjadi pemandu Uber selama tiga hari sebelum berangkat menunaikan umrah.

Menggunakan Proton Perdana baharu, bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank itu mengubah gaya hidup sebagai pemandu Uber kerana mahu memahami denyut nadi rakyat.
"Dengan jadi pemandu Uber saya lebih memahami denyut nadi rakyat," kata Abd Wahid yang berasal dari keluarga susah.

Pengalaman beliau itu dikongsi oleh Norizan Sharif yang merupakan Pengarah Eksekutif Institut Keusahawan Negara (INSKEN) di laman facebooknya semalam.

Norizan yang juga terkenal sebagai penganalisis politik selain pernah menerajui kepimpinan belia satu masa dahulu memberitahu, beliau berkesempatan berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih bersama Abd Wahid.


"Sebentar tadi berbuka puasa dan bertarawikh dengan pemandu Uber, Tan Sri Abd Wahid Omar.

"Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bekas CEO Kumpulan Maybank itu beritahu, hari ini dia dapat 8 orang penumpang," katanya.

Pengalaman menggunakan perkhidmatan Uber yang dipandu oleh Wahid turut dikongsi oleh Firdaus Fadzil yang memberi lima bintang kepada bekas menteri dan CEO itu.

Menurut Wahid, bayaran yang diperoleh daripada penumpang akan disumbangkan kepada badan kebajikan. Seramai 30 sahabat beliau akan menambah sumbangan tersebut.

Rujukan: Malaysiagazette

Raya Pertama Kali Di Rumah Suami Atau Isteri? Ini Jawapan Paling Ideal Buat Pasangan Pengantin Baru

By Hafiz.H → Friday, June 17, 2016
Pasangan Pengantin Baru, "Nak beraya di rumah siapa pertama kali ini?"

Perkara ini kebiasaannya akan menjadi pertelingkahan di antara pasangan yang baru mendirikan rumah tangga. Isteri akan menggunakan hujahnya tersendiri dan si suami pula akan menggunakan kuasanya sebagai ketua keluarga yang mesti dipatuhi. 

Ada teknik dan tips untuk anda berdua membuat keputusan: 


1. Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa), "Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama delapan tahun; dalam pada itu, jikau engkau genapkan menjadi 10 tahun, maka yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri. Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku InshaAllah, dari orang-orang yang baik layanannya." Al Qashash: 27

Kalaulah ingin merujuk pada ayat di atas, pengantin lelaki perlu berkorban tinggal bersama ayah mertua dan membantunya selama 8 tahun. Tetapi dengan keadaan sekarang, perkara ini tidak mungkin boleh berlaku.

Namun kita boleh ikuti konsepnya iaitu, dalam tempoh 8 tahun, si suami utamakan rumah mertuanya dahulu. Dalam kes pulang beraya ke kampung, elok utamakan rumah isterinya.

2. Orang perempuan banyak menggunakan emosi dan perasaannya dalam setiap urusannya. Sedangkan lelaki hanya fokus mindanya kepada sesuatu tugasan. Dia boleh mengabaikan emosi dan perasaannya. Oleh itu, isterilah yang lebih terkesan menyambut hari raya pertama.

Apa lagi dengan status dia sebagai seorang isteri, jiwanya pasti mengelabah untuk pertama kalinya menyambut raya di rumah orang lain. 1,001 macam dalam fikiran yang menghantuinya. Oleh itu, raya pertama di rumah isteri.

3. Jika isteri ini telah ada bilik tidur khas di rumahnya dan suaminya pula tiada bilik khas dirumahnya, ini akan menyebabkan isteri tidak selesa jika terpaksa berkongsi bilik persalinan dengan ipar-iparnya. Oleh itu, eloklah raya pertama di rumah isteri. Tetapi jika suaminya memang ada bilik khas, sila rujuk tips 1 dan 2 di atas.

4. Tetapi kalau sepanjang ramadhan, pasangan ini tinggal di rumah isterinya, maka eloklah susun strategi untuk berhari raya pertama di rumah kampung suaminya.

5. Jika suami adalah anak tunggal, dinasihatkan buat rancangan untuk berpuasa 2-3 hari awal di rumah kampung isteri. Kemudian berhari raya pertama di rumah suami. Sebab kehadiran anak tunggal dengan isterinya ini memberi kesan positif bertambah sayang ibu mertua kepada anak menantunya.

Selamat berbincang.

Kredit: Pak Utih's Page

Trump Mahu Larang Rakyat Malaysia Masuk Ke AS

By Hafiz.H →
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT . Donald Trump mahu mengharamkan kemasukan 10.2 juta orang ke Amerika Syarikat dari 40 negara, termasuk dari Malaysia.

Calon Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Republikan (GOP) itu berkata, pada Isnin lepas 'imigrasi dari beberapa kawasan di dunia yang ada sejarah keganasan terhadap AS, Eropah dan sekutunya akan digantung sehingga AS memahami cara untuk menamatkan ancaman.

Laporan State Department’s Annual Report dari CNN mengatakan Malaysia di antara 12 'kawasan lindungan' (safe havens) untuk pengganas.


Negara lain adalah Somalia, Mali, Libya, Mesir, Iraq, Lebanon, Filipina, Indonesia, Afghanistan, Pakistan dan Yaman.

Negara-negara yang tersebut dianggap 'mampu berorganisasi, merancang, mengumpul dana, berkomunikasi, merekrut, melatih dan mengendalikan kawasan lindungan (safe havens) untuk pengganas'.

Negara lain, Iran, Sudan dan Syria pula dianggap 'penaja aktiviti keganasan'.

14 lagi negara termasuk Turki, Rusia, Nigeria dan India dituduh 'tempat pengganas beroperasi atau berasal' namun tidak semestinya kawasan lindungan (safe havens).

Perancis, Belgium dan Britain pula di antara 11 lagi negara yang dianggap memiliki kehadiran pengganas dan suspek pengganas.

Sebanyak 2,571,762 visa bukan imigran (nonimmigrant) pada tahun fiskal 2015 dan 158,877 visa imigran diberikan kepada individu pada tempoh sama dari 40 negara yang tersebut.

Rakyat dari beberapa negara yang disebut seperti Perancis, Belgium dan Britain tidak memerlukan visa untuk pelancongan dan lebih 7.5 juta pelancong ketiga-tiga negara memasuki AS pada 2014.

Laporan CNN menganggarkan seramai 10.2 juta orang akan diharamkan memasuki AS jika Trump dilantik Presiden AS, 20 November depan.

Rujukan: SinarHarian

Fakta Mengejutkan Tentang Pedofilia Yang Wajib Diketahui Oleh Ibu Bapa Di Malaysia

By Hafiz.H → Thursday, June 16, 2016
Sudah tiba masanya rakyat Malaysia memahami apa itu pedofilia demi menjaga keselamatan kanak-kanak di negara ini.

Baru-baru ini, Malaysia digemparkan dengan kes seorang pelajar, Fitri Azmeer Nordin yang disabit bersalah kerana memiliki gambar dan video pornografi kanak-kanak.

Sejauh mana anda tahu apa itu pedofilia?

Seorang pakar seksologi di University of Toronto, Dr. Ray Blanchard berpendapat bahawa pedofilia adalah satu orientasi seksual dimana seseorang itu mempunyai nafsu seksual terhadap kanak-kanak di bawah umur 13 tahun.


Pedofilia dijelaskan sebagai keinginan seseorang untuk memenuhi nafsu seksual dengan melibatkan kanak-kanak. Sering kali pedofilia datang daripada golongan lelaki dewasa yang tertarik dengan kanak-kanak lelaki mahupun perempuan secara seksual.

Meskipun seseorang itu hanya mempunyai keinginan seksual terhadap kanak-kanak, walaupun tanpa menyentuh mereka, dia masih dianggap sebagai pedofilia.

Menurut Persatuan Psikiatri Amerika (APA), sifat mempunyai nafsu terhadap kanak-kanak atau pedofilia adalah sejenis penyakit mental.
"Pedofilia merupakan gangguan pedophilic iaitu tarikan seksual seseorang terhadap kanak-kanak. Ia menyebabkan mereka rasa bersalah, bimbang, terasing, atau mempunyai kesukaran dalam mengejar matlamat peribadi yang lain," kata Dr. Blanchard.

Bagaimana pedofilia berkait dengan kes penculikan dan rogol kanak-kanak?

Terdapat banyak kes culik dan kanak-kanak dirogol di Malaysia. Walau bagaimanapun, ramai yang masih tidak menyedari bahawa kes-kes ini berkait rapat dengan pedofilia.
Salah satu kes yang berlaku pada tahun 2007 menyentuh jiwa seluruh rakyat Malaysia adalah kisah Nurin Jazlin yang ditemui maut dalam keadaan yang sangat menyayat hati.
Bedah siasat mayat mangsa mendapati pembunuh telah memasukkan timun dan terung ke dalam kemaluan mangsa, menyebabkan rektum mangsa pecah hingga dijangkiti bakteria antara faktor yang menyumbang kepada kematian menyayatkan kanak-kanak itu.

Berapa banyak kes kehilangan kanak-kanak yang berlaku di Malaysia?

Mengikut statistik ibu pejabat polis Bukit Aman, terdapat 4,998 kes individu yang dilaporkan hilang pada tahun 2013 dan hanya 2,382 orang berjaya ditemui semula.
Sementara itu, 45 peratus daripada kes orang hilang membabitkan remaja dan kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah.

Jadi, apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk melindungi anak-anak mereka daripada menjadi mangsa pedofilia?

Ibu bapa perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak melakukan perkara yang boleh menarik perhatian pedofilia terutama sekali di laman sosial.

Sebuah akaun Facebook milik 'Biru Laut' telah berkongsi beberapa panduan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti:

1) Tidak post gambar anak-anak tidak berpakaian atau berpakaian tidak sopan sama ada anak lelaki mahupun perempuan.

2) Jangan sesekali memberitahu atau post lokasi sekolah atau kawasan beradanya anak anda di laman sosial.

3) Latih anak-anak untuk tidak membenarkan sesiapa sahaja menyentuh kemaluannya.

4) Pakaikan anak-anak pakaian yang tidak begitu menonjol dan sopan.

5) Berikan perhatian sekiranya anak-anak tidak berasa selesa atau takut berada dekat dengan seseorang dan jika mereka menjadi murung apabila mendekati seseorang.

6) Membiarkan anak-anak terutama sekali yang berumur 13 tahun ke bawah pergi kemana-mana keseorangan diri atau tanpa pengawasan orang dewasa yang dipercayai.

7) Jangan membiasakan anak-anak duduk di atas riba sesiapa sahaja, lebih-lebih lagi seorang lelaki.

Apakah kesan yang dialami oleh kanak-kanak yang menjadi mangsa kepada serangan seksual?

Kanak-kanak yang menjadi mangsa serangan seksual mungkin akan mengalami trauma seumur hidup mereka.
Perkara ini turut boleh membawa kepada kemurungan, kebimbangan, masalah pemakanan dan tidak mempunyai keyakinan diri di kalangan kanak-kanak dan impak daripada yang dialami amatlah besar.

Menurut Pensyarah di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya (UM), Dr. Mariani Mohd. Nor peristiwa seperti ini akan meninggalkan kesan perasaan seperti takut kepada kanak-kanak tersebut. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu memberi perhatian penuh terhadap anak-anak mereka.

Kami menyeru ibu bapa untuk mengambil perhatian terhadap kes yang berkaitan dengan pedofilia kerana ia adalah kes serius!
Sekiranya terdapat tanda-tanda seperti seorang kanak-kanak itu menjadi mangsa pedofilia, hubungi Talian Nur 15999 untuk mendapatkan bantuan.

Kredit: Says.com