Tags:

Perogol Kanak-Kanak Di Malaysia Akan Dijatuhkan Hukuman Di UK Hari Ini

By Hafiz.H Saturday, June 4, 2016
Richard Huckle merupakan seorang sukarelawan gereja yang sering ke Malaysia untuk kerja-kerja sukarela. Di sebalik itu dia sebenarnya seorang paedophile yang merogol kanak-kanak dari bayi berusia 6 bulan ke remaja 12 tahun. Ada 91 tuduhan semuanya dan beliau menghadapi 22 hukuman jel seumur hidup.
Beliau ditahan di lapangan terbang Gatwick sekembalinya dari Malaysia pada 2014 dan kastam menjumpai bahan-bahan porno kanak-kanak di laptopnya.

London: Seorang lelaki Britain menghadapi 22 tuduhan yang membawa hukuman penjara seumur hidup kerana jenayah seks terhadap sehingga 200 kanak-kanak di Malaysia selama sembilan tahun antara 2006 hingga 2014.

Menurut Daily Mail, Richard Huckle, 30, dari Ashford, Kent, yang mensasarkan kanak-kanak miskin Kristian di Malaysia, mengaku melakukan kesalahan itu terhadap kanak-kanak perempuan dan lelaki berusia semuda enam bulan sehingga 12 tahun, termasuk merogol, serangan seksual dan aktiviti seks dengan kanak-kanak.

Kes ini hanya baru boleh dilaporkan media buat pertama kali semalam, selepas Hakim Peter Rook membatalkan larangan sekatan itu ketika permulaan perbicaraan bagi menjatuhkan hukuman terhadap Huckle.

Pihak pendakwa memerlukan masa lebih sejam untuk membacakan semua tuduhan itu ketika kes diperdengarkan buat pertama kali sebelum ini.

Perbicaraan untuk menjatuhkan hukuman terhadapnya di Old Bailey bermula semalam, dan dijangka selesai esok.

Setakat ini pasukan pendakwaan Britain berjaya mengemukakan 91 tuduhan membabitkan 23 kanak-kanak, 22 dari Malaysia serta seorang dari Kemboja dan Huckle mengaku terhadap 71 pertuduhan berkenaan.

Selepas jurugambar bebas itu ditahan di Lapangan Terbang Gatwick, Britain, oleh anggota Agensi Jenayah Kebangsaan (NSA) pada Disember 2014, polis menemui 20,253 gambar dan video aktiviti seksnya dengan mangsa dalam komputer riba dan pemacu mudah alih.

Lelaki itu yang menggambarkan dirinya sebagai penganut Kristian yang alim, pertama kali datang ke Malaysia ketika dia berusia 18 atau 19 tahun pada 2005 sebagai guru sukarela bahasa Inggeris. Setahun kemudian di ke Kemboja dan merakam gambar tidak senonoh kanak-kanak berusia tiga tahun ketika tinggal bersama keluarga mangsa.

Dia kembali ke Malaysia pada 2006 dan mula menjadikan dua beradik perempuan berusia empat dan enam tahun sebagai mangsa seksualnya serta merakam gambar mereka sebelum pulang ke Britain.

Pada 2007 dia tinggal bersama keluarga dua beradik ketika bekerja sebagai guru di satu perkampungan dan mereka menjadi hamba seksnya sehingga dia ditahan pada 2014.

Pada 2010 Huckle datang lagi Malaysia sebagai pelajar di Kuala Lumpur Metropolitan University dalam bidang teknologi maklumat dan bekerja sebagai jurugambar bebas, menawarkan khidmat mengambil gambar majlis hari jadi kanak-kanak.

Huckle mendapat kepercayaan keluarga Kristian miskin di Kuala Lumpur sebagai guru tuisyen dengan lima kanak-kanak yang menjadi mangsanya tinggal di rumah kebajikan.

Melalui laman web untuk lucah kanak-kanak terbesar dunia yang tersembunyi dan mempunyai 9,000 ahli itu, Huckle menyiarkan dengan lengkap bagaimana dia menjerat mangsa serta memuat naik ratusan gambar termasuk video dia merogol mangsa.

Dalam komputernya polis menemui manual bertajuk ‘Paedophiles And Poverty: Child Lover Guide’ ditulis Huckle untuk dimuat naik ke laman web berkenaan, dengan bangga menceritakan kejayaan membentuk seorang budak perempuan tiga tahun untuk patuh kepadanya seperti anjing peliharaan.

Dia bercadang menjual manual berkenaan, gambar serta video aktiviti seksual dengan mangsanya bagi mendapatkan wang untuk meneruskan kegiatannya.

Bagaimana Huckle tertangkap

BBC News melaporkan, polis di Australia dan Eropah sudah lama menyedari kewujudan laman web lucah kanak-kanak, Love Zone, yang tersembunyi dalam ‘Dark Web’ yang memerlukan kata laluan, penyulitan ( encryption) dan perisian tertentu untuk menyertainya.

Ia menyiarkan semua jenis penderaan seksual kanak-kanak termasuk bayi dan ahli perlu sentiasa memuat naik bahan baru untuk kekal sebagai ahli.

Penyiasat Pasukan Khas Targos di Australia hanya tahu pengendali laman web itu menggunakan ucapan ‘hiyas’ dan selepas sekian lama memantau laman sembang dan forum, mereka menemui satu akaun Facebook palsu menggunakan ucapan berkenaan membolehkan lelaki berkenaan, Shannon McCoole, dikenalpasti melalui kenderaannya.

McCoole bekerja dengan agensi kebajikan kanak-kanak di Adelaide dan ketika menyerbu rumahnya, polis mendapati dia sedang berada dalam talian mengendalikan laman web itu.

Polis mengenal pasti tangannya sebagai tangan yang sama dalam banyak gambar penganiayaan seks kanak-kanak dan tahun lalu, dia dijatuhkan hukuman 35 tahun penjara.

Pasukan khas itu berlakon sebagai McCoole, mengambil alih laman web berkenaan dan begitulah mereka menemui Huckle sebagai ahli yang banyak memuat naik gambar, video dan cerita penderaan seks olehnya terhadap kanak-kanak.

Pasukan itu berjaya mengenal pasti identiti Huckle dan tahu dia akan pulang ke Britain untuk Krismas pada 19 Disember 2014 lalu memberi maklumat kepada polis Britain dan dia ditahan sebaik mendarat di Lapangan Terbang Gatwick.

Semalam, banyak pihak di Britain mengkritik agensi pencegah jenayah Britain kerana dikatakan mengambil masa terlalu lama untuk memberitahu pihak berkuasa Malaysia serta agensi kebajikan kanak-kanak mengenai jenayah Huckle. Mereka hanya memberitahu pihak yang berkenaan 16 bulan selepas Huckle ditahan.

Mereka mempertikaikan tindakan tidak memaklumkan pihak berkuasa Malaysia sebaik menerima maklumat mengenai Huckle daripada Australia namun NCA enggan memberitahu sudah berapa lama tahu mengenai kegiatan Huckle sebelum dia ditahan.

Rujukan: HarianMetro

Post Tags:

Jillur Rahman

I'm Jillur Rahman. A full time web designer. I enjoy to make modern template. I love create blogger template and write about web design, blogger. Now I'm working with Themeforest. You can buy our templates from Themeforest.

No Comment to " Perogol Kanak-Kanak Di Malaysia Akan Dijatuhkan Hukuman Di UK Hari Ini "