Tags:

Video: IS Bagi Amaran, Bukit Yang Aman Tidak Akan Aman Lagi

By Hafiz.H Friday, June 24, 2016
PETALING JAYA: Video propaganda terbaru yang dikeluarkan kumpulan pengganas IS memaparkan pejuang warganegara Malaysia yang memberi amaran serangan terhadap orang awam, termasuk ‘memenggal leher’ anggota polis di Bukit Aman tidak lama lagi.

New Straits Times melaporkan, Bahagian Counter-Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman mempunyai video grafik yang memaparkan Mohd Rafi Udin dari Negeri Sembilan, bersama dua lagi pejuang IS, memenggal tiga tebusan, dipercayai pengintip.

Selepas melakukan tindakan bacul itu, mereka bertiga menyampaikan pesanan kepada kerajaan masing-masing, dengan Rafi menggalakkan penyokong IS di Malaysia untuk menggunakan apa juga cara untuk “membunuh” golongan taghut (musuh Allah).


“Bunuhlah mereka di mana saja kalian bertemu mereka..kalian punya kenderaan, langgarlah mereka… kalian punya senjata atau pisau kecil, tikamlah dada mereka,” katanya.

Beliau juga memberi amaran kepada pasukan polis yang mereka akan diburu dan “dipenggal leher” oleh penyokong IS di dalam negara.

“Kepada mereka di bukit-bukit yang aman, ketahuilah kalian tidak akan aman sebentar lagi. Kami akan pulang untuk menyerang kalian ataupun sahabat kami yang berada di sana, insya-Allah akan memenggal leher kalian.”

Sementara itu, pejuang IS dari Filipina yang bersama Rafi dalam video itu berkata:”Kami menyembelih murtad ini, dan esok, saudara kami di tanah anda akan sembelih anda..Kami akan guna bahasa pedang dan peluru.

“Kami akan terus berjuang dan memerangi anda, mengganas dan meletakkan rasa takut dalam hati anda.”

Bercakap kepada akhbar harian berbahasa Inggeris itu, Timbalan Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, “Serangan yang disasarkan mungkin dilakukan sebaik saja IS menerima janji setia daripada kumpulan luar Syria dan kawasan operasi diisytiharkan milik mereka.

Ayob merujuk kepada Khatibah Nusantara (cawangan IS di Asia Tenggara), yang katanya mengecualikan Malaysia daripada yang lain sebagai negara dilabel “Taghut” (pendosa/tidak patuh perintah Allah) yang perlu diperangi.

“Kami sedang membuat persiapan untuk serangan dalam tempoh enam bulan menerusi dua sumber, Khatibah Nusantara di Filipina dan IS pusat.”

Menurut laporan itu, Ayob mengenal pasti Rafi sebagai antara ahli Kumpulan Mujahiddin Malaysia (KMM), yang meninggalkan Malaysia pada 2014 untuk menyertai IS di Syria. Rafi yang juga menggunakan nama Abu Ain, antara ahli KMM yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana melakukan keganasan.

Rafi dilaporkan tempang kakinya selepas mengalami kecederaan dalam satu serang hendap oleh tentera Assad di Syria, dua tahun lalu.

Sementara itu, polis akan terus berjaga-jaga selepas berjaya menggagalkan dua serangan individu, menurut laporan itu.

Salah seorang penyerang ialah pelajar berusia 16 tahun di Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini yang bersenjatakan pisau 27cm dan pistol palsu, merancang membunuh seorang pembantu jualan berusia 27 tahun.

“Pelajar lelaki itu menerima arahan daripada pejuang kanan IS rakyat Malaysia untuk melancarkan serangan itu…jadi dia ambil pisau dan cuba membunuh mangsa kerana dia bukan seorang Islam.

“Kami juga menahan seorang suspek dengan dua pisau rambo di stesen LRT Jalan Jelatek,” kata Ayob yang menjelaskan pejuang IS menggunakan senjata tradisional seperti pisau, bukan senapang atau bom, kerana ia sukar dikesan.

Ayob berkata setakat ini pasukannya mematahkan sembilan rancangan serangan penyokong IS, dengan tiga daripadanya sudah berada di “peringkat kedua”, bermaksud mereka bersedia untuk melaksanakan rancangan.

Rujukan: Freemalaysiatoday

Post Tags:

Jillur Rahman

I'm Jillur Rahman. A full time web designer. I enjoy to make modern template. I love create blogger template and write about web design, blogger. Now I'm working with Themeforest. You can buy our templates from Themeforest.

No Comment to " Video: IS Bagi Amaran, Bukit Yang Aman Tidak Akan Aman Lagi "